Monday, June 15, 2009

Alamat Sekretariat PKPIM Pusat


Logo PKPIM

Sekretariat PKPIM Pusat
Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7,
Kampung Tengah, Batu 6 1/2,
Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur
MALAYSIA

Telefon: +603-6184 2286
Faks: +603-6184 2285
Laman Sawang: www.pkpim.net
Emel: pkpim_spp@yahoo.com

Keyakinan Idealisme


PKPIM menggariskan beberapa landasan teori sebagai orientasi gerakan persatuan ini iaitu :

Dakwah & Tarbiah
Gerakan Islam yang diasaskan dengan semangat amar makruf nahi mungkar (menyeru ke arah kebaikan dan menyanggah kemungkaran), mementingkan sistem pendidikan dan latihan ahli yang lengkap dan bersepadu.

Ilmiyyah (Berbudaya ilmu)
Gerakan yang ditunjangi oleh budaya ilmu yang mantap, rasional dan objektif dalam membezakan anatara hak dan batil.

Desekularisasi
Gerakan yang menggabungjalinkan ilmu-ilmu wahyu (revealed knowledge) dan ilmu-ilmu wahyu yang dituntut (acquired knowledge) dalam proses membangunkan ummat serta mengambil pendekatan mengintelektualkan ulama’ dan mengulama’kan intelektual.

Waşoţiyyah (Kesederhanaan)
Mengambil pendekatan yang sederhana dan tepat dengan menjauhi segala bentuk kecenderungan yang melampau.

Jamāhiriyyah (Akomodatif)
Mengambilkira kepelbagaian gaya hidup masyarakat dalam merangka gerak kerja terhadap sasaran dakwah yang berbeza.

Wāqi`iyyah (Setempat)
Menimbang realiti setempat yang cukup tersendiri dalam melaksanakan ‘manhaj mālizy’ (pendekatan ala Malaysia) dalam penyebaran dakwah.

Tārikhiyyah (Historis)
Sebuah gerakan yang mempunyai pengalaman dan prestasi gerak kerja yang terbukti berkesan, matang dan mampu kekal relevan sepanjang zaman.

Ālamiyyah (Global)
Menjadi gerakan yang dalam gerak kerjanya menjangkau dan merentasi sempadan geografi, politik, agama, budaya dan bangsa.

Non-Partisan
Mendokong kebenaran dan menyanggah kebatilan tanpa sebarang keterikatan dengan sebarang puak hingga menghalang pertimbangan rasional dan keadilan.

Fokus Gerak Kerja


Sebuah badan induk persatuan pelajar Islam yang berdaftar di peringkat kebangsaan, maka PKPIM menggariskan beberapa objektif:

1. Menjadi satu badan induk yang mewakili pelajar-pelajar Islam di Malaysia untuk berkembang dan berjuang ke arah merealisasikan idealisme Islam yang syumul (komprehensif) selaras dengan tuntutan al-Quran dan as-Sunnah.

2. Mengeratkan dan merapatkan tali persaudaraan di antara semua pelajar Islam Malaysia.

3. Menjadi wakil untuk mengemukakan kesulitan, permintaan serta tuntutan pelajar-pelajar Islam kepada pihak yang berkaitan dengan masalah pelajaran, kebudayaan, kemasyarakatan dan lain-lain.

4. Mengadakan kemudahan kepada para pelajar tanpa mengira perbezaan agama, ekonomi, kaum, pergaulan hidup atau bahasa.

5. Mewakili pelajar-pelajar Islam semasa di dalam dan luar negara, merapatkan ukhuwwah Islamiah serta bekerjasama dengan persatuan-persatuan yang sama dasarnya dengan PKPIM.

Menuju Satu Matlamat


Visi

Menjana Generasi Rabbāni Demi Membina Tamadun Khayra Ummah

Misi

Gerakan pelajar Islam dinamik dan beriltizam melahirkan generasi muda ke arah memartabatkan idealisme dan cita-cita besar Islam

Motto

Hidup Biar Berjasa

Tokoh Kepimpinan


Jasa Tokoh Terdahulu

Kini PKPIM masih lagi berada di persada dakwah lebih 40 tahun dan terus kekal dalam usaha melahirkan generasi pelajar yang mempunyai kualiti keinsanan yang bersepadu bagi menghadapi cabaran semasa. Dengan penuh iltizam, PKPIM cuba sedaya upaya menjadi wadah pelajar yang paling berpengaruh, mampu menyelaraskan pergerakan pelajar Islam di seluruh negara serta menjadi jurubicara pelajar yang dihormati. Di bawah disenaraikan nama-nama Presiden PKPIM yang telah menggerakkan persatuan ini:

  1. Hanafiah Ahmad Sesi 1961/62
  2. Wan Jaafar Abdullah Sesi 1962/63
  3. Shaari Tadin Sesi 1963/64
  4. Shaari Tadin Sesi 1964/65
  5. Wan Fauzi Wan Mahmud Sesi 1965/66
  6. Wan Ismail Wan Ibrahim Sesi 1966/67
  7. Ismail Daud Sesi 1967/68
  8. Anwar Ibrahim Sesi 1968/69
  9. Anwar Ibrahim Sesi 1969/70
  10. Anwar Ibrahim Sesi 1970/71
  11. Kamaruddin Mohd. Nor Sesi 1971/72
  12. Ramli Ibrahim Sesi 1972/73
  13. Siddiq Fadhil Sesi 1973/74
  14. Abdul Rahman Rukaini Sesi 1974/75
  15. Wan Hamid Wan Teh Sesi 1975/76
  16. Ismail Basri Sesi 1976/77
  17. Fuad Hassan Sesi 1977/78
  18. Fuad Hassan Sesi 1978/79
  19. Fuad Hassan Sesi 1979/80
  20. Fuad Hassan Sesi 1980/81
  21. Abdul Malik Awang Khalid Sesi 1981/82
  22. Abdul Malik Awang Khalid Sesi 1982/83
  23. Abdul Manaf Haji Deraman Sesi 1983/84
  24. Azmi Shah Suratman Sesi 1984/85
  25. Azmi Shah Suratman Sesi 1985/86
  26. Mustaffa Kamil Ayob Sesi 1986/87
  27. Mustaffa Kamil Ayob Sesi 1987/88
  28. Mustaffa Kamil Ayob Sesi 1988/89
  29. Mustaffa Kamil Ayob Sesi 1989/90
  30. Wan Ahmad Tarmizi Abdul Aziz Sesi 1990/91
  31. Khalek Awang Sesi 1991/92
  32. Khalek Awang Sesi 1992/93
  33. Khalek Awang Sesi 1993/94
  34. Khalek Awang Sesi 1994/95
  35. Yusri Mohamad Sesi 1995/96
  36. Yusri Mohamad Sesi 1996/97
  37. Amidi Manan Sesi 1997/98
  38. Amidi Manan Sesi 1998/99
  39. Asyraf Wajdi Hj Dusuki Sesi 1999/2000
  40. Asyraf Wajdi Hj Dusuki Sesi 2000/01
  41. Mohd Zaidi Aziz Sesi 2001/02
  42. Mohd Zaidi Aziz Sesi 2002/03
  43. Mohd Raimi Abdul Rahim Sesi 2003/04
  44. Mohd Raimi Abdul Rahim Sesi 2004/05
  45. Mohd Suhail AhmadSesi 2005- 2006
  46. Syed Mikael Rizal Aidid (Pemangku) 2005-2006
  47. Mohd Hilmi Ramli Sesi 2006 - Kini

Sejarah Penubuhan



Pengkisahan Gerakan PKPIM

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.

Penubuhan PKPIM ini diusahakan oleh sekumpulan pelajar yang terdiri daripada 10 orang pemimpin pelajar daripada lima institusi pendidikan tinggi iaitu Universiti Malaya, Maktab Teknik Kuala Lumpur (sekarang Universiti Teknologi Malaysia), Maktab Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia), Kolej Islam Malaya (sekarang Maktab Perguruan Islam) dan Maktab Perguruan Bahasa. Tujuan utama penubuhan persatuan ini pada awalnya adalah untuk menjadi wakil tunggal pelajar-pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PTM) pada waktu itu untuk berhubung dengan badan-badan pelajar Islam di luar negeri.

PKPIM ditubuhkan atas dasar inisiatif yang timbul kesan dari Seminar Pelajar Islam Se Malaysia yang pertama kali dianjurkan pada 4 September 1960 bertempat di Universiti Malaya. Beberapa persatuan pelajar Islam dari luar negara seperti Malaya, Indonesia, Singapura, Brunei, Sabah, Sarawak, Filipina dan Ceylon menjadi perwakilan pada hari tersebut. Seminar ini merupakan seminar pertama yang dianjurkan oleh para pelajar atas nama Islam.

Hasil dari seminar tersebut beberapa resolusi telah dibentuk iaitu persatuan pelajar-pelajar Islam PTM perlu mengadakan satu persatuan kebangsaan bagi menyatupadukan pelajar-pelajar Islam di PTM dan perlunya PTM mengadakan satu institusi pengajian tinggi (universiti) bagi memenuhi keperluan pengajian Islam yang ada di negara ini. Hasil dari resolusi yang dibuat, maka Jawatankuasa Seminar memberi mandat untuk membentuk satu Jawatankuasa Penaja penubuhan PKPIM. Hasilnya, terbentuklah satu Jawatankuasa Perancang penubuhan PKPIM yang kebanyakan ahlinya terdiri dari Jawatankuasa seminar tersebut. Berikut adalah senarai nama 10 orang pemimpin pelajar yang dimaksudkan:

1. Sulaiman Hj. Nordin Pengerusi (Maktab Pertanian Malaya)
2. Ahmad Johari Setiausaha Maktab Pertanian Malaya)
3. W. Jaafar Abdullah (Universiti Malaya)
4. Mohd Ghazali Abdullah] (Universiti Malaya)
5. Azizuddin Meor Hamzah (Maktab Teknik Kuala Lumpur)
6. Annuar Hj. Ab. Razak ( Maktab Teknik Kuala Lumpur)
7. Ismail Ibrahim (Kolej Islam Malaya)
8. Ahmad Awang (Kolej Islam Malaya)
9. Ab. Rahman Hj. Taib (Maktab Perguruan Bahasa)
10. Zainal Adnan Yang Yahya (Maktab Perguruan Bahasa)

Jawatankuasa Perancang ini kemudiannya mengadakan beberapa siri mesyuarat yang bermula dari tarikh 2 Oktober 1960 di Asrama Pertama dan Asrama Kedua Universiti Malaya bagi membincangkan masalah pembentukan persatuan dan merangka perlembagaan PKPIM. Akhirnya pada 31 Mac 1961 bertempat di Asrama Kedua Universiti Malaya, PKPIM telah berjaya ditubuhkan dengan gabungan 5 institusi pengajian tempatan dan 3 bulan kemudian pada 27 Jun 1961 PKPIPTM telah berjaya didaftarkan. Sejak itu PKPIM terus berkembang sehingga mencetuskan kesedaran Islamiah di kalangan generasi muda sehingga kini khususnya pada akhir dekad 60an dan awal dekad 70an.

Wednesday, March 25, 2009

Usul tolak PPSMI diterima tanpa bahas


http://www.malaysiakini.com/news/100946

Dua Wanita Umno bahagian mengesa kerajaan mengembalikan penggunaan bahasa ibunda dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPMSI) yang diamalkan di sekolah-sekolah.

Usul daripada Wanita Umno Ledang, Johor dan Kuala Langat, Selangor itu merupakan sebahagian usul pendidikan yang diterima tanpa bahas dalam perhimpunan Wanita Umno 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.

Wanita Umno Ledang membuat gesaan itu dalam kerana perlaksanaan PPSMI di sekolah kebangsaan didakwa "melemahkan minat murid, terutamanya daripada kawasan luar bandar".

Usul itu menyebut: "Menegaskan kerajaan menimbang semula kesan negatif pengajaran dan pembelajaran (Sains dan Matematik) dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah bagi mata pelajatan Sains dan Matematik."

Wanita Umno Kuala Langat pula menyifatkan bahasa Melayu perlu digunakan kembali berdasarkan ketetapan dan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaaan dan bahasa rasmi negara.

Perhimpunan Agung Wanita Umno hari ini turut menerima beberapa usul politik, ekonomi, agama dan sosial yang diterima tanpa dibahaskan.

Jawatan menteri

Beberapa bahagian didapati menyuarakan hasrat mereka supaya ketua Wanita diberi tempat sebagai menteri kabinet.

Cadangan itu dibuat oleh dua bahagian daripada Perlis (Padang Besar dan Kangar) dan dua bahagian lagi daripada Terengganu (Besut dan Kuala Terengganu).

Pasir Salak, Bagan Serai, Kuala Langat dan Bukit Katil pula mengusulkan supaya Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) dikekalkan dan dipertahankan.

Pasir Salak bagaimanapun menekankan perlunya akta kontroversi itu dilaksanakan secara profesional, adil dan tidak berlaku penyalahgunaan kuasa.

Setelah dirasmikan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak malam tadi, tiga sayap Umno - Pemuda, Putera dan Puteri - mula bersidang hari ini.

Pada masa ini sedang berlangsung pengundian untuk memilih pucuk pimpinan masing-masing.

Persidangan Wanita kali ini juga menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi bagi jawatan nombor satu pergerakan itu, antara penyandangnya Tan Sri Rafidah Aziz yang dicabar oleh Timbalannya, Datuk Shahrizat Abdul Jalil.

Sunday, March 22, 2009

Bajet Mini 2009 Mesra Siswazah


Tahniah diucapkan kepada Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak di atas pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2009 sebagai pakej rangsangan kepada Bajet 2009 yang telah dibentangkan oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini. Pakej rangsangan tersebut yang berupa bajet mini berjumlah 60 bilion, melakar sejarah ekonomi Malaysia.


Belum pernah sebelum ini satu pakej rangsangan yang berjumlah sebegitu besar dibentangkan selepas pembentangan bajet tahunan negara. Namun, ia adalah suatu yang logik dan munasabah di dalam mendepani krisis ekonomi dunia yang teruk sehingga menyebabkan penguncupan ekonomi terburuk semenjak The Great Depression pada tahun 1929.


Teras Pertama yang berjumlah RM 2 bilion daripada empat teras yang dibentangkan di dalam bajet mini mempunyai kesan langsung kepada siswazah. Program-program yang ditawarkan di dalam teras tersebut adalah untuk membantu siswazah untuk mendepani masa-masa sukar natijah daripada krisis ekonomi kali ini. Teras tersebut diperuntukkan untuk mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan melalui penyediaan latihan dan mewujudkan peluang pekerjaan, kebajikan pekerja yan telah diberhentikan kerja, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di sektor awam, peluang siswazah untuk melanjutkan pelajaran, skim PROSPER siswazah dan usaha mengurangkan pekerja asing.


Perlu dicermati bahawa kira-kira 56,000 orang telah kehilangan pekerjaan kesan daripada krisis ekonomi kali ini. Ini tidak termasuk puluhan ribu lagi siswazah yang sudah sedia menganggur dan yang baharu tamat pengajian dan kini di dalam pengangguran. Justeru, di dalam teras pertama yang dibentangkan, bukan sahaja siswazah yang menjadi satu-satunya sasaran yang bakal menerima manfaat daripadanya, tetapi terpaksa bersaing bersama dengan golongan pekerja yang telah diberhentikan, golongan pekerja yang diberhentikan sementara dan mereka yang mengalami kekurangan pendapatan.


Tanpa mengabaikan sasaran lain di dalam perlaksanaan program-program di bawa teras pertama bajet mini tersebut, kedudukan siswazah harus dipertimbangkan sebaiknya kerana siswazah berada di kedudukan yang rapuh di dalam persaingan bersama sasaran lain. Ini kerana pengalaman berkerja golongan pekerja yang diberhentikan samada secara kekal mahupun sementara menjadi satu kelebihan ke atas siswazah yang baharu sahaja menamatkan pengajian tanpa pengalaman berkerja. Ini khususnya berlaku di dalam sektor swasta yang tentunya akan mengutamakan kemahiran dan pengalaman berkerja.


Justeru, adalah dicadangkan supaya perlaksanaan program-program di bawah teras pertama perlu mengenalpasti dan membahagikan sasaran program secara jelas. Adalah baik sekiranya diletakkan satu nisbah peratusan yang sedia ditentukan untuk setiap sasaran program ini. Sebagai contoh, dengan meletakan peruntukan 30 % tempat diberikan untuk siswazah di dalam program-program yang ditawarkan di bawah teras pertama dalam bajet mini yang dibentangkan.


Tidak dinafikan bahawa Teras Pertama yang dibentangkan banyak menawarkan program-program yang menyediakan ruang dan peluang untuk siswazah berkecimpung di dalam keusahawanan seperti Program Tunas Mekar dan Skim PROSPER siswazah. Namun, tidak semua siswazah mempunyai minat ataupun kemahiran yang menjurus ke arah keusahawanan. Oleh itu, siswazah yang mempunyai minat dan kemahiran yang menjurus ke arah lapangan lain sebagai contoh kepimpinan, perlu turut diberi perhatian dan bantuan sewajarnya. Ini adalah untuk memastikan supaya mereka tidak tercicir untuk turut memberi sumbangan kepada negara.


Namun, ruang dan peluang yang disediakan untuk berkecimpung di dalam keusahawanan tidak boleh dipersiakan oleh siswazah. Siswazah perlu memanfaatkan kelebihan yang disediakan untuk mereka berkecimpung di dalam keusahawanan. Tambahan pula penglibatan siswazah di dalam keusahawanan akan mampu untuk membantu negara biarpun sedikit untuk mengharungi krisis ekonomi kali ini. Di kala masalah deflasi timbul, siswazah perlu bijak untuk mengenalpasti sektor-sektor ushawan yang ingin diceburi.


Siswazah juga harus mengambil peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi melalui peluang yang ditawarkan di dalam Teras Pertama Bajet Mini 2009. Penampungan kos yuran pengajian dan bahan penyelidikan sebanyak RM 20,000 untuk pelajar peringkat sarjana kedoktoran falsafah dan RM 10,000 untuk pelajar peringkat sarjana adalah satu usaha yang murni oleh kerajaan. Bukan sahaja ia dapat menyelesaikan masalah pengangguran dalam jangka masa pendek, bahkan ia dapat membina kapasiti akademik para siswazah untuk memiliki kelayakan yang lebih tinggi.


Siswazah harus mengambil pelang ini untuk memperolehi kelayakan akademik yang lebih tinggi. Dalam masa-masa mencabar ini, peluang melanjutkan pengajian tambahan pula dibiayai samada secara penuh ataupun separuh adalah satu pilihan yang cukup baik. Persepsi bahawa kelayakan akademik yang tinggi adalah tidak perlu untuk pekerjaan selain daripada dunia akademik dan kepensyarahan adalah tidak tepat dan perlu diketepikan.


Biarpun dengan segala program-program yang ditawarkan untuk dimanfaatkan oleh siswazah di dalam Teras Pertama Bajet Mini 2009 ini, siswazah tidak boleh berada di dalam zon selesa. Siswazah tidak harus menyandarkan survival dan masa depan diri kepada orang lain sebagai contoh kepada kerajaan semata-mata. Siswazah perlu bersikap proaktif di dalam membina kehidupan diri tambahan lagi di dalam suasana ekonomi yang tidak menentu pada hari ini.


Bajet Mini 2009 telah menyediakan tawaran program-program yang membuka banyak ruang dan peluang untuk siswazah. Kini, tinggal kemahuan diri siswazah sendiri untuk mencipta masa depan yang lebih baik buat diri sendiri dan negara.

Khairul Anuar Shazali
Setiausaha Agong
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Tuesday, March 17, 2009

Kajian: PPSMI 'bantut kecerdasan murid'


http://malaysiakini.com/news/100432

Kajian lapan universiti awam mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) "menimbulkan kerugian berganda kepada murid" dan "tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid."

Kajian yang diusahakan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) dan melibatkan 53 pakar bahasa itu mendapati, pelaksanaan PPSMI hanya memberikan kesan minimum – kurang daripada 4 peratus – kepada pencapaian bahasa Inggeris secara menyeluruh.

"Dari segi perkiraan analisis kos-faedah dalam konteks pelaburan jangka panjang, amalan PPSMI tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang.

"Dengan ini, disarankan supaya dasar PPSMI diberhentikan.

"Ia juga harus diterokai pendekatan alternatif pengajaran bahasa Inggeris cara lain yang lebih konkrit dan praktikal, iaitu dengan menggubal dan menambahbaikan kurikulum dan pedagogi mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri," laporan itu dipetik.

Laporan sepuluh halaman itu turut mendedahkan pelaksanaan PPSMI menimbulkan kerugian berganda kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terlibat – bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Sunday, March 8, 2009

Perutusan Amir Sempena Maulidur Rasul 1430 H


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Pengasihani.

Segala Puji Bagi ALLAH Tuhan Sekalian Alam, Selawat Dan Salam Keatas Nabi Junjungan BesarJustify Full Rasulullah Sallahu 'Alaihi Wassalam, Juga Kepada Sahabat-Sahabat Baginda Dan Juga Kepada Mereka-Mereka yang Sedang Berjuangan Di Atas Jalannya Yakni Islam Yang Sebenar.

Setiap mulanya diawal pagi dan dia tidak diakhiri dengan malam kerana esok pagi itu akan kembali lagi dan mata ini akan menutup dan membuka kembali pada pagi nya jika diizin Allah. Sedar tak sedar, kita telah lama membuat kelakuan seperti itu bermula sewaktu kita keluar dari perut Ibu hinggalah sekarang, sementara menunggu mata itu menutup tanpa membukanya lagi.

Sedarkah kita selama kita melaluli peristiwa yang semalam dan meninggalkan untuk hari esok, kita sikit demi sedikit telah jauh meninggalkan zaman bermulanya Islam, zaman kegemilangan Islam dan zaman kejatuahan Islam. Apakah tidakan kita sebagai jenerasi sekarang adakah mengekalkan zaman terakhir itu, atau mengembalikan zaman selepas Rasul atau memulakan seperti zaman Rasul. Keputusannya terletak kepada tangan, kesedaran,pengetahuan dan juga kekuatan yang ada pada diri setiap indivitu Islam.

Ingin saya membawa anda mengimbas kembali perjuangan baginda SAW untuk menyebarkan Islam sehingga umat Islam bertaburan dimerata dunia. Baginda terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dan juga cabaran daripada masyarakat Mekah pada Zaman jahiliyyah itu. Hasil kegigihan dan juga kesabaran yang dikurniakan Allah kepada baginda, kebanyakan mereka yang menentang itu akhirnya memeluk Islam malah memperjuangkan Islam hingga tersebar keseluruh dunia.

Dengan sifat yang digelar Al-Amin yang bermaksud beramanah kepada Baginda itu akhirnya dapat menundukan hati-hati yang keras seperti batu bagaimana kisah saidina Abu Bakar menerima Islam hanya dengan mendengar ayat-ayat suci Al-Quran yang dibaca oleh adik perempuannya yang pada masa itu telah memeluk Islam secara sembunyi.

Begitu juga kisah Saidina Umar Al-Khattab yang terkenal dengan kekerasannya yang digeruni, apabila memeluk Islam beliau mengistiharkan KeIslamannya keseluruh penduduk Mekah dan mencabar sesiapa yang menghalangnya beliau akan potong kepala mereka.

Banyak lagi kisah-kisah bagaimana sahabat-sahabat baginda memeluk Islam biarpun pada mulanya penentang utama dakwa Baginda Rasulullah SAW hanya melihat kepada kejujuran dan juga kesabaran baginda dalam menyampaikan risalah Allah.

Sehinggalah selepas kewafatan baginda, perjuangan untuk menyebarkan Islam diteruskan sahabat-sahabat baginda didalam Zaman Khulafa' Arrasyidin dimana pada zaman itu Islam berjaya dijulang dan ditonjolkan dalam setiap sudut baik kepimpinan, ekonomi, Islmuan, pembangunan dan lain-lain lagi, biarpun pada mulanya sahabat berasa lemah semangat bila mengenang pemergian kekasih Allah.

Alhamdulillah hingga sekarang Islam masih boleh dinikmati akan tetapi, kita diakhir zaman ini mempunyai tugas yang sangat berat kerana terpaksa menghadapi cabaran-cabaran yang akan mencabar kepercayaan aqidah umat Islam.

Dizaman ini biarpun kemodenan yang dikecapi tetapi serangan untuk memansuhkan kepercayaan Iman dialam diri umat Islam juga amat sengit. Kita boleh lihat orang-orang kafir menyerang dengan cara halus seperti serangan berbentuk pemikiran atau pemahaman seperti Sekularisme, Libralisme, Hidorisme, orientalisme,Kapitalisme dan lain-lai lagi dimana pemahama-pemahan ini menyerang dalam sudut pemisahan antara agama dan juga kehidupan seharian, penyamaan antara semua agama, memberi hiburan yang melampau kepada golongan muda, pengeliruan dalam pendidikan agama, melalui ekonomi dan lain-lain lagi.

Oleh itu marilah sama-sama kita mengambil semangat perjuangan baginda dan juga sahabat-sahabatnya dalam kita untuk memartabatkan kembali Islam ini dan kukuhkan Iman dan juga kesabaran dan juga semangat untuk meneruskan perjuangan ini didalam Gerakan Dakwah yang sedang kita sertai ini dan akhirsekali jagalah ukhuwwah dan bersatulah dalam melaksanakan kerja Islam ini.

MOHD SYAHIRAN BIN MUHAMMAD
Amir Kampus
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (PKPIM-KUIS)

Malaysia police tear-gas protesters : Al Jazeera


http://english.aljazeera.net/news/asia-pacific/2009/03/20093716310221316.html

Riot police have used tear gas against at least 2,000 ethnic Malays protesting in Kuala Lumpur against the use of English in local schools, witnesses have said.

The demonstrators were set to march to the royal palace in the Malaysian capital on Saturday to ask for the king's support in ensuring that all schools teach science and maths in Malay.


Police fired tear gas as the protesters began their rally from the National Mosque to the palace about three kilometres away, Hatta Ramli, one of the demonstrators, said.


"It was a peaceful march. They shot [tear gas] without any warning," he said.


Authorities in the former British colony started a programme in 2003 to resume teaching mathematics and science in English, believing that poor English-language skills were undermining Malaysian students.


But Malay teachers and linguists have said that the policy has come at the expense of modernising Malay in the scientific lexicon.


'Scores arrested'


Hadi Awang, president of Pan-Malaysia Islamic party (PAS), a conservative Islamic opposition party, was among those taking part in the rally, Hatta said.


At least 124 people were detained during the police operation against the protesters, the Star online news service reported.


Musa Hassan, inspector general of police, said the organisers had greed to only send representatives into the palace after afternoon prayers but PAS and Keadilan, another opposition party, turned it into a rally, he said.


"We had no choice but to use tear gas to disperse the crowd who refused to listen to police warnings," Musa was quoted as saying by the Star online news service.


About 60 per cent of Malaysia's 27 million-strong population is Malay, while 26 per cent is ethnic Chinese and eight per cent ethnic Indian.


Najib Razak, the deputy prime minister, said on Friday that English was important if Malaysia is to compete on the global stage.


But he said that the government would ensure that Malay was the official teaching language.


"Mastering foreign languages does not necessarily erode an individual's identity," he told Bernama news agency.


Selesaikan segera isu PPSMI -Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi


http://www.utusan.com.my/

PETALING JAYA 7 Mac - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diselesaikan segera bagi mengelakkan tercetusnya isu lebih besar pada masa depan.


Perdana Menteri berkata, ini kerana terdapat desakan kuat terutama daripada orang Melayu mengenai isu tersebut dan satu keputusan segera mengenainya perlu dilakukan.


"Saya mahu isu ini diselesaikan segera dan jika dilengah-lengahkan, pelbagai tekanan dan tindakan akan dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyebabkan ia jadi lebih besar," tegasnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku Dragon Fire Hammer , tulisan Adam Umemoto yang berusia 14 tahun di sini hari ini.


Perdana Menteri diminta mengulas kontroversi PPSMI yang semakin memuncak apabila 5,000 orang berhimpun dan berarak membantah pelaksanaannya dari Masjid Negara ke Istana Negara, petang ini bagi menyerah memorandum kepada pihak istana.


Perarakan yang tidak mendapat permit dan kebenaran itu bertukar menjadi kecoh apabila arahan polis supaya mereka bersurai tidak diendahkan ada segelintir peserta yang bertindak diluar batasan termasuk melakukan provokasi terhadap anggota pasukan keselamatan.


Sehubungan itu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa menggunakan meriam air untuk menyuraikan mereka.


Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan teruk di sepanjang Jalan Mahameru kerana laluan terpaksa ditutup dari kedua-dua arah.


Dalam hubungan ini Abdullah berkata, Kementerian Pelajaran telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan NGO terbabit bagi membincangkan perkara itu.


Namun kata beliau, kementerian tersebut masih belum bersedia untuk mengumumkan bentuk keputusan yang telah diambil.


Katanya, kementerian berkenaan boleh menjadikan keputusan peperiksaan lalu untuk dijadikan asas bagi menentukan pelaksanaan PPSMI itu.


"Dengan cara itu saya berharap ia akan menjadi satu keputusan yang adil kepada semua kaum dan bagi mengukuhkan kepentingan pendidikan masa depan,'' katanya.

Isu PPSMI perlu segera selesai: Muhyiddin


http://www.bharian.com.my/

KOTA BAHARU: Perhimpunan Agung Umno ke-63 hujung bulan ini dijangka membincangkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang kini menjadi isu hangat diperbincangkan dan kerajaan perlu memberikan perhatian serius.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah ke arah mempercepatkan tindakan menangani isu ini perlu dilakukan bagi memastikan masalah itu tidak berlarutan dan masyarakat dapat menerima dengan baik.

"Adalah tidak tepat sekiranya penyelesaian isu bahasa dilengah-lengahkan dan menteri berkenaan perlu beri kata dua dalam menyelesaikan masalah ini. Apa pun keputusan akan dikaitkan dengan Umno dan ini memberi kesan negatif terhadap parti yang selama ini dianggap pembela orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas majlis Maulidur Rasul di sini, hari ini.

Beliau yang juga calon Timbalan Presiden Umno tidak menolak kesan isu bahasa Melayu memberi persepsi yang tidak sihat kepada parti dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Umno.

"Terserah kepada menteri berkenaan, bagi saya ia banyak faedah sekiranya diberikan keputusan yang cepat khususnya untuk generasi akan datang," katanya. - Bernama

Wednesday, March 4, 2009

Istana setuju terima memo anti-PPSMI


http://www.malaysiakini.com/news/99537
Jimadie Shah Othman | Mar 4, 09 3:48pm


Istana Negara memberikan reaksi positif bagi menerima memorandum membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu ini.

Persetujuan istana itu dianggap “kemenangan pertama” aktivis bahasa dan sastera dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang menganjurkan perhimpunan besar ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad berkata istana tidak melarang majlis penyerahan memorandum tersebut.

Beliau dimaklumkan Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak berada di istana pada masa yang dijadualkan dan memorandum tersebut akan diserahkan oleh seorang pegawai bagi pihak baginda.

Katanya, satu salinan memorandum tersebut telah disampaikan kepada istana melalui setiausaha sulit kanan Yang di-Pertuan Agong semalam.

Memorandum lapan halaman itu diserahkan awal, tambahnya, sebagai makluman kehadiran mereka di istana, petang 7 Mac ini.

GMP merancang berhimpun di tiga tempat di ibu negara – kompleks membeli-belah Sogo, Pasar Seni dan Masjid Negara – sebelum berarak beramai-ramai ke Istana Negara pada jam 2 petang.

Mereka merancang berarak dalam pakaian putih sebagai lambang pembersihan PPSMI, tanpa sebarang logo, bendera dan simbol parti-parti politik walaupun GMP turut disertai PAS dan PKR.

Selain Dr Hassan, Sasterawan Negara A Samad Said dan pemimpin pembangkang termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadual hadir.

Ditanya tindakan lanjut GMP jika kerajaan enggan melayan tuntutan mereka, Dr Hassan berkata gabungan itu akan terus memperjuangkan pemansuhan dasar kontroversi itu sehingga berjaya.

“Tidak ada tempoh tamat. Kita akan terus berjuang sehingga kembali kepada dasar asal (sebelum diperkenalkan PPSMI pada 2003),” katanya.

Sementara itu, Setiausaha GMP Hasni Abas berkata 1,000 anggota Unit Amal PAS dikerahkan bagi mengawal keadaan dan lalulintas supaya perhimpunan itu terkawal dan aman.

Katanya, permit berhimpun telah dipohon atas nama timbalan pengerusi GMP Dr Shahrir Mohd Zain kelmarin di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi apabila ditolak oleh Bukit Aman minggu lepas.

Friday, February 27, 2009

PKPIM KECAM KEPUTUSAN TERBARU KDN


Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melonggarkan pendirian dalam larangan penggunaan nama “Allah” bagi penerbitan-penerbitan agama selain Islam, walaupun dengan syarat-syarat yang tertentu, adalah amat mengecewakan. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengecam keputusan tersebut dan mahu pihak KDN bertindak tegas dengan melarang penggunaan nama “Allah” bagi penerbitan selain daripada agama Islam.

Tindakan KDN yang mula berlembut dengan keputusan awalnya dikhuatiri akhirnya akan menjurus ke arah suasana yang tidak harmoni di antara penganut agama-agama yang berbeza di negara ini. Penggunaan nama “Allah” yang merupakan hak umat Islam harus dipertahankan agar tidak menimbulkan kekeliruan.


PKPIM berpendirian bahawa penggunaan nama “Allah” sememangnya adalah hak umat Islam kerana nama tersebut sememangnya nama yang digunakan dalam kitab umat Islam, yakni kitab suci Al-Qur’an, dalam bahasa asalnya yakni bahasa Arab. Justeru, umat Islam adalah yang paling layak untuk menggunakan nama “Allah” kerana itulah nama yang memang diperkenalkan dalam teks asal ayat-ayat Al-Qur’an. Malah, penterjemahan Al-Qur’an pun mengekalkan penggunaan nama “Allah” dan tidak digantikan dengan nama-nama lain.

Hal ini menunjukkan bahawa dalam Islam, nama “Allah” itu adalah merupakan satu nama yang merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa, dengan segala sifat-sifat kesempurnaan-Nya; justeru, nama yang agung itu sama sekali tidak boleh disamaratakan dengan istilah “tuhan” ataupun “god” (dalam bahasa Inggeris) yang merupakan satu konsep.
PKPIM ingin melahirkan kehairanan tentang kedegilan pihak gereja yang berkeras hendak menggunakan nama “Allah” dalam penerbitan-penerbitannya yang berbahasa Melayu.

PKPIM tidak nampak sebab lain di atas kedegilan itu melainkan hasrat pihak gereja yang mensasarkan penerbitan-penerbitan mereka untuk dibaca oleh orang Melayu, justeru merupakan satu usaha untuk menarik keluar orang Melayu daripada Islam. Dalam perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu ditafsirkan secara jelas sebagai orang yang beragama Islam dan bertutur bahasa Melayu.

Seterusnya, dalam perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, menyatakan dengan jelas bahawa penyebaran kepercayaan atau agama lain di kalangan orang Islam (justeru, orang Melayu) boleh disekat. Perkara-perkara ini menjadi asas, dari segi undang-undang, untuk menyekat usaha-usaha memurtadkan umat Islam.
PKPIM juga ingin menegur pihak Majlis Gereja Malaysia (CCM) agar menghormati keputusan KDN, dan menghormati hak eksklusif umat Islam bagi penggunaan nama “Allah”.

Bagi umat Islam, nama “Allah” adalah nama bagi Tuhan yang disembah, tercatat dan digunakan mengikut bahasa asal turunnya kitab Al-Qur’an. Adapun tindakan agama lain yang menggunakan nama “Allah” adalah sebagai tafsiran kepada konsep tuhan dalam agama masing-masing. Justeru, adalah wajar penggunaan nama “Allah” dilarang sama sekali terhadap agama selain daripada agama Islam agar tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat awam.
PKPIM menyeru pihak KDN agar bertindak tegas dalam isu ini dan tidak berkompromi kerana isu ini adalah berkaitan dengan ‘aqidah umat Islam.

Soal ‘aqidah adalah soal yang terpenting, dan bukannya isu cabang yang boleh diremeh-remehkan. PKPIM bersedia memberikan sokongan dan dokongan penuh terhadap pihak kerajaan dalam larangan penggunaan nama “Allah” bagi penerbitan agama selain daripada Islam.
Dalam masa yang sama, PKPIM menyeru agar semua pihak kembali meletakkan pihak yang mempunyai autoriti ilmu itu pada tempatnya. Dalam hal-hal dan isu-isu yang seperti ini, sebarang perbahasan hendaklah kita serahkan kepada pakarnya. Kita harus mengakui hakikat bahawa bukan semua orang layak bercakap tentang semua perkara.

Kita ada golongan ulama, cendekiawan dan para intelektual yang lebih layak dan wajar untuk kita rujuki dan kita ikuti pandangannya. Seandainya kita menjadikan para ulama dan intelektual sebagai rujukan dalam segala hal, sudah pasti kita akan dapat mewujudkan satu suasana yang lebih harmonis dan teratur.

ABDUL MUNTAQIM BIN ZULKIPLI

PKPIM 2008/2009

Thursday, February 26, 2009

PIBG seluruh negara bantah PPSMI


Jimadie Shah Othman | Feb 26, 09 1:57pm
http://www.malaysiakini.com/news/99123


Gerakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima lonjakan sokongan apabila Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula menyokongnya.

Gabungan nasional PIBG tidak rasmi kira-kira 8,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pertama kali hadir ke mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di ibu negara, Isnin lalu.

Pengerusi PIBGN Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, sokongan majlis tersebut terhadap GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI, termasuklah sedia terlibat dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara pada 7 Mac.

"Kita minta kerajaan membuat keputusan segera. Jangan sampai ibu bapa turun buat demonstrasi, termasuklah di jalanan secara haram.

"Sekarang ini trend penduduk tidak lagi khuatir (berdemonstrasi), seperti juga amalan bangsa-bangsa lain (di seluruh dunia).

"Kita mahukan keadaan aman, (kerajaan perlu) buat keputusan segera. Jangan tunggu selepas perhimpunan Umno (24 – 28 Mac ini) atau tahun depan baru hendak buat keputusan," katanya.

GMP menganjurkan perhimpunan besar minggu depan bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung dasar itu.

Mohamad Ali turut mengkritik persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran bagi membincangkan pelaksanaan PPSMI yang didakwanya “tidak begitu bebas”.

"Kita perlukan kajian yang benar-benar bebas. Mungkin sudah tiba masanya kita menubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji pelaksanaan PPSMI.

"(Sidang) meja bulat ini kita lihat tidak begitu bebas. Tidak ada laluan yang luas," kata Mohd Ali.

Katanya, PIBGN hadir kesemua lima kali persidangan meja bulat kementerian dan membantah PPSMI dalam pertemuan itu tetapi ia tidak memberikan sebarang kesan apabila dasar itu terus diamalkan sejak enam tahun lalu.

Mengulas pelaksanaan dasar kontroversi itu, beliau menyifatkan PPSMI gagal kerana dikendalikan oleh guru yang kebanyakannya "tidak berdaya" dan "tidak cukup latihan".

"Insentif 10 peratus kenaikan gaji yang diberikan kepada mereka yang terlibat dalam PPSMI tidak nampak setimpal dengan kenaikan tersebut. Prestasi mereka sepatutnya lebih daripada 10 peratus," katanya.

Selain itu, Mohd Ali menambah, PPSMI mengakibatkan banyak pembaziran apabila guru-guru terlibat yang dibekalkan komputer riba bagi membantu pengajaran tetapi gagal memanfaatkan sepenuhnya.

"Begitu juga dengan perisian-perisian yang tidak dimanfaatkan. Hanya 1/3 perisian pengajaran (daripada kira-kira 25 jenis) yang dicadangkan oleh kementerian digunakan," katanya.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad dianggotai kumpulan NGO dan sayap-sayap Pemuda PKR dan PAS.

Tuesday, February 24, 2009

AS tayang filem hina Islam


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Dunia/20090224221212/Article/index_html

WASHINGTON: Filem kontroversi yang dihasilkan oleh Ahli Parlimen Belanda yang anti-Islam, Geert Wilders, bakal ditayangkan di Amerika Syarikat Khamis ini selepas senator Republikan, Jon Kyl, bersetuju menjadi hos menayangkan dokumentari menghina Islam itu.

Kyl menjadi penaja majlis itu bagi Wilders, yang tidak dibenarkan memasuki Britain awal bulan ini selepas pegawai Britain berkata dia membawa ancaman kepada undang-undang awam.

Kementerian Dalam Negeri Britain enggan membenarkan Wilders memasuki negara itu berdasarkan alasan dia 'akan mengamcam keselamatan masyarakat dan awam.'


Ahli perundangan Belanda itu dijemput ke bangunan Capitol untuk menayangkan filem selama 17 minit itu, Fitna, yang mengkritik al-Quran sebagai 'buku fasis' dan membandingkan Islam dengan Nazi.

Wilders mempertahankan diri daripada tuduhan 'berat sebelah' berhubung desakan sendiri untuk bebas bersuara tetapi pada masa sama mahu al-Quran diharamkan.

"Saya mahu al-Quran diharamkan. Di Belanda, kami mengharamkan Mein Kampf. Saya melihat perbandingan kedua-dua buku ini. Bukan hanya ia adalah ideologi pemerintahan satu parti politik tetapi kedua-duanya juga menghasut keganasan," katanya.

PKPIM KETUAI GAP BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP KPM BERHUBUNG ISU PPSMI HARI INI


(http://www.pkpim.net/v2)

Gombak, 18 Februari - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan mengetuai Gerakan Anti PPSMI (GAP) membuat laporan polis terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). PKPIM akan membuat laporan polis tersebut pada hari ini bertempat di Balai Polis Gombak pada jam 1 petang


PKPIM mengambil tindakan membuat laporan polis berhubung isu ini adalah untuk memohon penyiasatan terhadap tindakan KPM meneruskan PPSMI yang melanggar prinsip dan maksud Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang di Malaysia. Para pelajar dan Mahasiswa adalah dijemput untuk bersama-sama PKPIM di Balai Polis Gombak bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan ini dan menggesa pemansuhan PPSMI dalam kadar segera.


Tindakan ini diambil atas rasa solidariti bersama Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) yang telah membuat laporan polis berhubung isu yang sama pada hari Ahad yang lepas. PKPIM dan GAP komited dan konsisten bersama-sama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di bawah pimpinan Dato' Dr. Hassan Ahmad bagi memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu di Malaysia demi Bangsa dan Islam.

PKPIM DEDAHKAN DAPATAN KAJIAN TRENDS IN INTERNATIONAL MATHEMATICS AND SCIENCE STUDY (TIMSS 2007) ANJURAN INTERNATIONAL ASSOCIATION FOR THE EVALUATION


(http://www.pkpim.net/v2)

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melalui sumber yang boleh dipercayai telah menerima dokumen kertas kerja makluman dapatan kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) anjuran International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA). Kertas kerja tersebut telah dibentangkan sebagai makluman dapatan kajian TIMSS 2007 kepada Ahli Mesyuarat Profesional Kementerian Pelajaran Malaysia.

TIMSS 2007 adalah kajian perbandingan antarabangsa yang mengkaji pelaksanaan dan keberkesanan kurikulum Sains dan Matematik. Penyertaan Malaysia di dalam kajian ini telah mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Ogos 2000 selepas dibentangkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP). Malaysia telah terlibat di dalam kajian ini sebanyak tiga kitaran iaitu kitaran pertama, 1998 hingga 2000, kitaran kedua, 2001 hingga 2004 dan kitaran ketiga, 2005 hingga 2008. TIMSS 2007 telah disertai oleh 59 buah negara daripada seluruh dunia.

PKPIM Komited Sedarkan Mahasiswa Akan Isu Gaza


(http://pkpim.net)16 Januari, Bangi - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah menyertai demonstrasi Anti Israel yang dianjurkan oleh mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertempat di perkarangan Masjid universiti tersebut selepas solat Jumaat hari ini. Pimpinan mahasiswa Islam daripada Ikatan Studi Islam (ISI) UKM telah menyampaikan ucapan menzahirkan kebencian dan penentangan terhadap kekejaman dan kezaliman Rejim Israel terhadap Gaza. Setiausaha Agung PKPIM, Khairul Anwar Shazali turut diundang untuk berucap di dalam himpunan tersebut.


Khairul Anwar dan pimpinan mahasiswa yang berucap telah bersama mengajak kesatuan yang dibentuk perlu berisifat pada dan kukuh. Kesatuan umat Islam ini perlu dengan mengenepikan perbezaan kelompok dan ideologi. Penzahiran penentangan terhadap Rejim Israel perlu dilaksanakan. Saranan boikot terhadap produk negara haram Israel dan negara-negara sekutunya perlu dilaksana dan diperhebat. Khairul Anwar turut menggesa kerajaan Malaysia untuk menamatkan semua Perjanjian Perdagangan Bebas yang dibuat bersama negara-negara sekutu Rejim Israel seperti Amerika Syarikat dan Republik Czech.


Kira-kira 300 demonstran yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat berhimpun. Demonstari tersebut juga telah menyaksikan wakil mahasiswa bukan Islam berucap di himpunan tersebut yang menyatakan betapa isu Palestin bukan hanya isu agama Islam tetapi telah bertukat menjadi isu kemanusiaan. Rejim Israel telah melakukan jenayah kemanusiaan. Himpunan demonstran turut memijak dan membakar bendera negara haram Israel dan negara-negara sekutunya


Manakala di Nilai pula, PKPIM telah menyertai Demonstrasi Anti Israel yang dianjurkan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Pimpinan dan ahli PKPIM di peringkat mahasiswa di KUIS telah bersama melaungkan kata-kata kebencian terhadap tindakan kejam Rejim Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa. Menurut salah seorang pimpinan PKPIM mahasiswa, Mohd. Syahiran, ribuan mahasiswa KUIS telah menyertai himpunan tersebut bagi membina kesedaran dan keinsafan akan tragedi yang menimpa saudara seakidah di Palestin.

Saturday, February 14, 2009

'Kita sendiri punahkan bahasa Melayu'



ENAM tahun sudah berlalu sejak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) 'dipaksakan' di sekolah.

Suara bantahan terus bergema, malah makin lantang dan bertenaga, terutama melalui Gabungan Mansuh PPSMI (GMP). Sokongan rakyat dan masyarakat intelektual terhadap GMP begitu memberangsangkan sekali.

Ikuti wawancara wartawan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, ANIS NAZRI dan IRWAN MUHAMMAD ZAIN, bersama jurugambar WAN ZAHARI WAN MD SALLEHdengan Pengerusi GMP, Dato' Dr Hassan Ahmad, yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, di pejabatnya, Yayasan Karyawan di Pusat Bandar Damansara, baru-baru ini.

HARAKAH: Isu mengenai PPSMI sudah berlanjutan sejak enam tahun lalu. Jika dahulu para pejuang bahasa tidak nampak begitu menonjol seperti sekarang, dengan melancarkan kempen membantah dasar ini di khalayak ramai di Kompleks Membeli-belah Sogo, 1 Feb lalu. Mengapa agaknya baru sekarang bertindak sedemikian?

HASSAN AHMAD: Saya fikir begini, kita perlu takrifkan apa itu pejuang bahasa. Ada orang berfikir pejuang bahasa ialah aktivis bahasa, melaung sana melaung sini. Pejuangan bahasa ini adalah perjuangan ilmu, mempertahankan konsep dan prinsip yang benar. Bahasa Melayu dan pendidikan dalam bahasa Melayu tidak pernah menjadi masalah sepanjang sejarah bahasa Melayu, tiba-tiba ada pihak yang menyekat dan dijadikannya masalah.

Pejuang bahasa hari ini ini terdiri daripada sarjana bahasa, ahli sains dan matematik yang telah terdidik dalam bahasa Melayu. Para ilmuan ini bergerak ke tempat umum kerana saluran lain sudah tertutup. Media-media perdana tidak menyiarkan suara-suara kebenaran ini. Jadi rakyat tidak dapat mendengar hujah yang benar mengenai dasar ini. Yang banyak disiarkan ialah hujah pihak yang membuat dasar.

Namun, dengan adanya media alternatif, seperti blog, masyarakat semakin terdedah untuk membaca berita yang lebih bebas dan benar. Beberapa banyak orang memberitahu saya, takkanlah pelajar di sekolah kebangsaan luar bandar yang tidak mengetahui atau lemah bahasa Inggerisnya, tiba-tiba tidak pandai matematik yang diajarkan dalam bahasa yang mereka tidak faham itu; ada di antara mereka mendapat tiba-tiba boleh dapat markah 'A'.

Statistik itu diragui oleh banyak orang. Rakyat tak tahu cerita sebenar.

Sudah beribu pelajar, ahli sains, profesor dan pensyarah pelbagai bidang sains dan matematik yang terdidik dalam bahasa Melayu sejak 30 tahun dahulu. Apakah mereka ini tidak maju dalam bidang-bidang itu kerana diajarkan dalam bahasa Melayu?

Apakah sains dan matematik yang diajarkan dalam bahasa Melayu di Malaysia lebih rendah daripada sains dan matamatik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris di universiti luar negeri, seperti di Universiti Harvard, dan lain-lain?

Adakah Matematik di Harvard atau Oxford misalnya dua campur dua sama dengan lima (2 + 2 = 5)? Ilmunya sama. Konsepnya sama, tidak kira dalam bahasa apa pun ilmu itu diajarkan.

Sebanyak lima rundingan meja bulat diadakan bersama ahli pejuang bahasa dan pendidikan. Namun, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai Dato' akhirnya ke jalan raya. Menteri Pelajaran menyifatkan tindakan GMP ini akan membuatkan kerajaan tidak dapat membuat keputusan secara waras. Apa reaksi Dato' dengan kenyataan tersebut?

Sebenarnya, GMP bukan gerakan jalanan. Ini gerakan mempertahankan tamadun bangsa, bahasa Melayu, pendidikan Melayu. Kita cuba berfikir secara waras.

Kita bukan kumpulan 'gila bahasa Melayu'. Kita bukan gerakan antikemajuan, antibahasa Inggeris, antikerajaan. Tapi cuba fikir, dasar yang salah ini telah dilaksanakan selama enam tahun.

Apakah kita perlu tunggu enam tahun untuk mengkaji baik buruknya, sedangkan keburukannya sudah diketahui umum. Yang tidak waras atau istilah lain yang lebih tertib, yang tidak rasional, ialah orang yang membuat keputusan ini dalam tahun 2003, konon hendak tunjukkan bahasa Inggerislah yang boleh memajukan bangsa Melayu dan negara ini, bahasa Melayu tak boleh.

Masalahnya mereka tidak mahu mendengar pandangan dan hujah orang lain yang lebih rasional. Apa guna ada rundingan jika pihak berkuasa tidak mempedulikan fakta yang sebenar. Perlu kena tunggu enam tahunkah? Dalam tempoh itu masalah makin lama makin menjadi kompleks dan bertambah parah.

Baru-baru ini pejuang bahasa nampak ke hadapan. Selain sebab yang dikatakan tertutupnya saluran rundingan, ada yang berkata pejuang bahasa ini agak lambat bertindak secara lantang seperti sekarang. Kenapa agak lambat bertindak?

Hakikatnya, ketika kerajaan mula-mula membuat keputusan yang salah itu, banyak pihak telah menentangnya. Bukan Melayu sahaja, kaum lain pun tentang dasar ini. Orang Cina yang saya sendiri jumpa menentang PPSMI.

Surat khabar Cina menceritakan keburukan dasar ini, berdasarkan hujah ilmu dan kajian yang ilmiah. Surat khabar Melayu seolah-olah takut hendak menyiarakan pandangan dan hujah yang menentang keputusan itu, seolah-olah mereka tidak membela bahasa mereka sendiri, tetapi menyokong bahasa Inggeris menjadi bahasa ilmu bagi bangsa Melayu.

Yang diceritakan, menteri kata itu, kata ini. Banyak pelajar dapat 'A'. Pelajar dari sekolah mana? Pelajar dari sekolah kebangsaan di kampung dan di ceruk rantau negeri ini ke?

Cuba pegawai-pegawai kerajaan Kementerian pergi duduk dalam bilik darjah di sekolah luar bandar yang daif itu, dan lihat apakah benar pelajar itu faham apa yang diajarkan kepada mereka dalam bahasa Inggeris, bahasa yang mereka tidak tahu.

Kita sedang mengalami proses membodohkan diri kita sendiri, proses jahiliah. Islam sudah tinggalkan zaman jahiliah, kita masih hidup dalam zaman jahiliah, zaman orang tidak menghormati ilmu dan kebenaran.

Segala masalah yang timbul itu adalah disebabkan kerajaan membuat keputusan yang salah. Sepatutnya masalah tidak timbul lagi setelah 50 tahun kita merdeka.

Banyak orang berharap dasar itu akan diubah selepas pilihan raya 2004. Rupanya kita hanya sibuk dengan isu jambatan bengkok. Dasar yang lebih bengkok, iaitu PPSMI itu, tidak diselesaikan.

Yang kasihannya pelajar yang berada di luar bandar. Yang tiada mempunyai akses kepada kemudahan-kemudahan pembelajaran ini seperti yang terdapat di bandar. Wujud suasana tidak adil bagi pelajar-pelajar itu dalam hal dasar ini.

Bagaimana Dato' terdorong untuk mengetuai gerakan ini?

Saya sebenarnya didatangi oleh sekumpulan orang muda meminta saya mengetuai gerakan ini, kerana, menurut mereka, sudah tiada orang yang mahu berjuang lagi untuk mempertahankan bahasa mereka.

Saya terima dengan syarat gerakan ini bergerak bukan untuk berperang melawan sesiapa tetapi semata-mata untuk meminta supaya pihak yang berkuasa memansuhkan PPSMI demi kebaikan dan kepentingan bangsa, pendidikan dan kemajuan negara berdasarkan model kita di Malaysia, bukan di Britain atau di Amerika Syarikat.

Kita tak usahlah berdolak-dalik lagi. Kita mempunyai banyak hujah, fakta dan hasil kajian untuk meyakinkan rakyat dan khususnya orang-orang dan pihak yang tidak faham tentang keburukan PPSMI itu.

Tugas saya dalam gerakan ini lebih banyak bersifat memberi nasihat dan sebagai tenaga pengimbang, memimpin gerakan yang kebanyakannya ditenagakan oleh orang muda yang sangat prihatin terhadap masalah bangsa, mengimbangi antara perasaan dengan realiti. Ketika ada yang datang bertanya kepada saya, saya fikir kenapa tidak? Jadi saya pun terima.

Dato' mengatakan tadi, bahawa media Melayu tidak begitu terbuka berbanding media Cina, isunya sekarang sejauh mana usaha-usaha ini boleh menekan kerajaan. Di mana kita lihat apabila kerajaan rasa survival politik mereka tergugat, barulah mereka akan bertindak. Jika sekadar tanda tangan dan hantar ke kerajaan, ia tidak begitu menekan. Sejauh mana usaha itu boleh memberi tekanan kepada kerajaan?

Tekanan bagaimana yang kita mahu buat? Rampasan kuasa? Tentera? Itu bukan caranya. Kita mahu menyedarkan pihak yang berkuasa dengan sebaik-baiknya bahawa PPMSI itu salah dan hendaklah segera dimansuhkan sebelum imej kerajaan sendiri akhirnya tergugat dan rosak dan mungkin akan dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Saya yakin kerajaan akan berfikir waras, dan kini mulai mendengar desakan. Jika tidak, saya percaya pilihan raya umum nanti mereka boleh telungkup. Orang Umno sendiri banyak yang bantah PPSMI. Cuma mereka takut. Ini kelemahan Melayu, takut menentang kesalahan, padahal mereka sepatutnya berani kerana kebenaran.

Jadi, perancangan awal GMP untuk mengadakan perhimpunan 100,000 rakyat bagi membantah dasar PPSMI ini akan diteruskan Mac ini?

Ya, setakat ini perhimpunan tersebut akan diteruskan Mac ini. Tapi ini bukan perhimpunan demonstrasi, perhimpunan jalanan, tetapi ialah kumpulan yang mewakili ratusan ribu, mungkin berjuta rakyat yang menentang dasar itu. GMP hanya mewakili mereka.

Bagi pandangan Dato', mengapa dasar ini perlu dibantah dan memberi kesan yang tidak baik kepada pelajar-pelajar?

Hal ini sudah kita jelaskan sedikit tadi. Kajian ilmiah, berdasarkan ilmu pendidikan dan ilmu budaya bahasa atau ilmu bahasa kognitif (yakni, bahasa sebagai alat pemikiran manusia). Kanak-kanak lebih mudah memahami konsep sesuatu ilmu, termasuk sains dan matematik, dalam bahasa asalnya, misalnya kanak-kanak Melayu dalam BM.

Jika ilmu itu diajarkan dalam bahasa yang dia sendiri tidak tahu, ada dua masalah yang akan timbul. Pertama, dia kena belajar bahasa yang dia tidak tahu iaitu BI.

Keduanya, dia kena belajar pelajaran yang dia tidak tahu dalam bahasa yang dia tidak tahu.

Inikan masalah serius? Kanak-kanak itu mendapat pendedahan ilmu dan pengetahuan awal di persekitaran mereka dalam bahasa ibunda mereka.

Ini fakta berdasarkan kajian ilmu, tapi kita membuat keputusan tidak berdasarkan ilmu itu. Itu asasnya. Jika soal pendidikan sudah tidak ada asasnya, kacau dibuatnya.

Ada orang - termasuk orang yang 'berilmu' - yang berkata, apalah orang Melayu nak bising sangat. Hanya dua mata pelajaran sahaja yang terlibat, iaitu sains dan matematik. Itu kata mereka.

Orang 'berilmu' tidak semestinya dia tidak jahil. Yang terlibat bukan dua mata pelajaran sahaja tetapi ialah 89 subjek yang dianggap berteraskan sains.

Jikalau orang Melayu tidak lagi dibenarkan mempelajari sains dan matematik dalam BM, akhirnya tidak ada orang Melayu yang boleh menjadi doktor perubatan, jurutera, ahli kimia, ahli biologi, botani dan lain-lain lagi dalam bahasa Melayu, kerana mereka tidak belajar sains dalam bahasa ini.

Tidak ada orang Melayu yang mampu bercakap dan berbincang tentang pelbagai bidang sains itu dalam bahasa Melayu. Ini sedih. Ini tragedi bagi bahasa Melayu, budaya Melayu, dan bagi bangsa Melayu.

Masalah yang patut diselesaikan oleh kerajaan dan pakar-pakar pendidikan di Kementerian Pelajaran (kalau masih ada pakar pendidikan di situ) ialah, memperbaiki pelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah.

Tidak munasabah, pelajar yang belajar bahasa Inggeris selama sembilan tahun (dari darjah 1 hingga ke peringkat SPM) akhirnya kebanyakannya tidak menguasa bahasa ini dengan baik.

Ini dahsyat! Kalau kaedahnya betul, orang boleh menguasai apa-apa bahasa pun dalam masa yang singkat, tidak sampai 9 tahun!

Kesimpulannya, kanak-kanak ini perlu diajar melalui bahasa ibundanya, tetapi bahasa kedua hendaklah diajar dengan cekap supaya kanak-kanak ini apabila sampai ke peringkat menengah dia juga sudah boleh memahami istilah-istilah sains matematik dalam BI itu, di samping istilah dalam BM.

Maknanya, jika ada pilihan bahawa dasar ini diajar di peringkat menengah, Dato' dan pejuang bahasa ini boleh bersetuju?

Saya tidak setuju. Satu soalan saya hendak tanya kepada pihak yang membuat keputusan ini.

Apakah mereka membuat keputusan itu kerana pengajaran sains matematik yang diajar dalam BM sebelum 2003 itu gagal, menyebabkan ratusan ribu kanak-kanak tidak menguasai matematik sains kerana diajar dalam bahasa ibunda mereka?

Pergilah ke mana-mana negara seperti Korea, Jepun, China, dan semua negeri di Eropah; dan di Finland, misalnya. Sains dan matematik semuanya diajarkan dalam bahasa mereka, tidak dalam bahasa Inggeris.

Finland ialah negara kecil; bahasanya tidak sebesar bahasa Melayu, tetapi negara itu boleh maju dalam bidang sains dan teknologi. Kanak-kanak Finland belajar dalam bahasa mereka.

GMP bukan anti-BI, tapi hendak mempertahankan apa yang benar, tolak yang tidak benar.

Kita mahu kerajaan selesaikan masalah kelemahan bahasa Inggeris dalam sistem pelajaran kita. Banyak sarjana kita lulusan dalam bahasa Melayu.

Suruh mereka mengajar sains dan matematik di Universiti Oxford, mereka tetap boleh mengajar dalam bahasa Inggeris - sebab bahasa Inggeris mereka cukup baik, dan bahasa Melayu mereka juga cukup baik.

Apakah orang yang membuat keputusan ini fikir hanya mereka yang benar? Dasar itu sahaja yang benar? GMP bukan musuh. Adakah kami yang mempersoalkan dasar ini bodoh, tak betul, tak benar? Kita bangsa Melayu mesti membuat sesuatu berdasarkan kebenaran. Benda yang tiada masalah dijadikan masalah, meleret hingga enam tahun.

Selain dari masalah pimpinan politik, jika Dato' sedar, di peringkat sarjana di universiti juga menghadapi masalah sama. Bukan sahaja matematik dan sains, tapi subjek lain seperti sains sosial, malah khabarnya sastera Melayu yang tidak ada kena mengena pun, pihak pentadbir meminta pensyarah mengajar dalam bahasa Inggeris?

Itulah akibatnya, sudah melarat-larat. Sepatutnya pensyarah ini ditegur kerana melanggar dasar negara. Ada universiti yang mengajar kesusasteraan Melayu dalam bahasa Inggeris. Kan bodoh ni.

Saya menggunakan istilah bodoh ini sebab tidak tahu nak guna istilah apa lagi. Sebab kita sendiri yang punahkan bahasa kita. Bukan negara atau bangsa lain yang suruh kita ajarkan ilmu dalam BI, tapi pemimpin kita sendiri.

Di dunia terdapat puluhan negara yang maju yang menggunakan bahasa sendiri. Jepun, China, Korea yang maju. Mereka guna bahasa ibunda mereka, bukan bererti mereka tidak tahu BI.

Dari segi perkembangan ilmu, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam terjemahkan buku suatu ketika dahulu begitu aktif. Kini seolah-olah tiada buku baharu?

Kita terjemahkan buku, bukan terjemahkan buku yang ilmunya kita boleh tulis sendiri. Ini yang patut digalakkan, iaitu menulis karya ilmu dalam bahasa kita sendiri. Kita patut menterjemahkan buku dalam bahasa lain yang bercorak klasik sahaja. Buku klasik isinya tidak berubah.

Karya pemikir Islam yang agung, seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Sina, dan banyak lagi, ilmuwan Barat sendiri 'tabik' terhadap kehebatan pemikir Islam itu. Karya seperti itulah yang perlu ada terjemahannya dalam bahasa Melayu, bukan asing yang sifatnya popular, yang isinya sering berubah-ubah.

Buku matematik dan sains ini tidak perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu; sarjana kita sendiri boleh menulisnya dalam bahasa Melayu, kecuali jurnal-jurnal ilmu dan hasil kajian ilmu dan saintifik yang benar-benar 'original', bahan seperti itu mungkin perlu diterjemahkan dalam bahasa Melayu.

Teori baru itu pun tidak banyak orang mengetahuinya. Masa Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) ditubuhkan kita menggunakan buku dari Indonesia, malah pensyarah pun dari sana. Yang menggunakan bahasa Melayu dalam bidang sains dan matematik, tidak ada masalah pun untuk memahami buku dalam bahasa Melayu-Indonesia.

Dengan pelbagai tekanan kini, apa harapan Dato' agar kerajaan menimbang semula dasar ini?

Saya berharap kementerian yang berkenaan pergi melawat sekolah di luar bandar, sekolah yang tercorot. Tengok sendiri keadaan kanak-kanak di situ.

Jangan pergi ke sekolah bandar sahaja, sekolah 'elite'. Itu tidak adil. Buat sekarang, jangan duduk sahaja dalam bilik, buat kajian berdasarkan data dan statistik yang pilih-pilihan (selektif).

Kita di rantau ini berada dalam tamadun berbahasa Melayu, bukan dalam tamadun bahasa Inggeris. Lebih 200 juta manusia mengetahui bahasa Melayu-bahasa Indonesia. Ini bukan bahasa kecil.

Ini bahasa yang telah membentuk suatu tamadun yang besar di rantau ini. Tamadun ini perlu dipertahankan oleh pemimpin hari ini, jika ini tidak dipertahankan BM akan menjadi bahasa pinggiran di Malaysia.

PPSMI ini perlu dilihat dari segi konteks yang besar, bukan dari dua tiga orang pembuat dasar. Apa yang akan terjadi pada bangsa Melayu datang jika mereka tidak belajar sains dalam bahasa Melayu?

Adakah mereka boleh mencipta ilmu baru, sains baru, teknologi baru dalam bahasa kita?

Kita kena melihat masalah PPSMI ini dari sudut yang luas itu.

Monday, February 2, 2009

Siapa Lemah?!


Ke arah mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan saya gunakan bahasa melayu dalam penulisan ini.

Takrif negara - sesebuah negara itu layak digelar sebagai sebuah negara apabila ianya diiktiraf oleh seluruh negara didunia ini. Israel tidak mendapat pengiktirafan tersebut sepenuhnya. Contoh Malaysia, Indonesia, Negara2 Arab, China etc semuanya diiktiraf oleh negara diseluruh dunia sebagai sebuah negara.

Israel bukanlah sebuah negara. Negara yang tiada keamanan bukanlah sebuah negara. Ianya lebih kepada tempat sementara “berkubu”.

Siapa yg berani katakan Palestin adalah negara yg lemah???
Negara dan orang2 Palestin adalah tidak lemah. Orang Islam yg terkuat di dunia ini bukan drpd negara Malaysia, bukan daripada negara Indonesia dan bukan juga daripada negara arab yg lainnya. Tetapi orang Islam yg terkuat sekali di dunia di kalangan orang-orang Islam itu sendiri adalah Orang-orang Palestin.

Sehingga ke saat ini Allah SWT masih memberikan kekuatan daripada segi fikiran, rohani dan fizikal kpd org-org Palestin. Sehingga ke saat ini mereka tidak tunduk kepada penceroboh-penceroboh bangsa Yahudi, walau ditekan sekuat mana pun. Walau bayi, ibu, wanita menjadi taruhan. Mereka tidak mengalah. Sudah berapa lama mereka di tekan oleh Yahudi?? Sejak daripada tahun 1947 lagi mereka terus ditekan hingga ke tahun 2009 ini. Mereka masih bertahan. Sebab itu mereka kuat dan hebat dikalangan orang2 Islam.

Maka benarlah firman Allah SWT, bahawa orang-orang Yahudi tidak akan memiliki sebuah negara. Orang-orang yahudi sebenarnya sedang menuju kepada jalan kehancuran dan bukan ke jalan pembetukan sebuah negara. Kekuasaan dan kekuatan mereka tidak setanding semangant juang rakyat Palestin. Mereka akan terhapus dan tewas seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Hanya waktu yg akan ditentukan oleh Allah SWT. Dunia ini sudah terlalu tua untuk manusia membuat kerosakan dan kekufuran kepada Allah SWT.

Wednesday, January 14, 2009

PKPIM bantah istilah pro-Aspirasi dan pro-Mahasiswa. ..


Jimadie Shah Othman | Jan 13, 09 Justify Full11:38am

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menganggap penggunaan label pro-Aspirasi dan pro-Mahasiswa bagi kumpulan pelajar yang bertanding dalam pilihanraya kampus di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebagai "tidak sihat dan merosakan perjuangan gerakan mahasiswa".

Sebaliknya, PKPIM berpendapat adalah lebih baik kumpulan yang bertanding itu dikenali mengikut persatuan dan organisasi yang dianggotai mereka iaitu We Unite For Islam (Wufi), Wawasan-GPMS dan calon PKPIM.

Media selama ini menggunakan istilah pro-Aspirasi merujuk kepada Wawasan-GPMS dan pro-Mahasiswa terhadap Wufi, manakala PKPIM pula dianggap pihak ketiga dalam pilihanraya kampus di UIA.

khairul anuar musa pkpim"(Amalan) menggunakan gelaran Pro-Mahasiswa memperlihatkan seolah-olah wujudnya hanya satu yang memperjuangkan mahasiswa," kkelompok ata exco antarabangsa PKPIM, Khairul Anuar Musa.

Khairul yang juga anggota badan pemantau pilihanraya kampus UIA yang ditubuhkan PKPIM berkata seharusnya pilihan kampus tidak mengikut rentak politik luar, yang sifatnya adalah hitam dan putih.

"Sesiapa sahaja di kalangan mahasiswa yang mendokong idelisma gerakan mahasiswa, seharusnya layak untuk bertanding.

"Pemilihan pimpinan dalam pilihanraya kampus berdasarkan merit dan kebolehan untuk memimpin bagi mahasiswa, bukan bendera mana yang dipegang," katanya.

Universiti itu akan mengadakan pilihanraya kampus pada 19 Januari depan.

Pada awalnya, pilihanraya kampus UIA dijadual diadakan pada 15 Januari sebelum tarikh dipinda kepada 19 Januari.

Ekoran itu, kumpulan Wufi dilaporkan mengesyaki tindakan itu bertujuan untuk menghalang mahasiswanya daripada terlibat dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.

Pilihanraya kampus di UIA kali ini akan menyaksikan perebutan 29 kerusi - 24 kerusi fakulti, lima kerusi antarabangsa.

http://malaysiakini .com/news/ 96326

AKMAL HISHAM BIN ABDUL RAHIM
(Tel Bimbit: 013-300 5429)

Muktamar Kebangsaan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM).



Pada 13 Januari 2009, bertempat Pusat Konvokesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) satu himpunan terbesar yang jarang sekali di adakan iaitu himpunan badan-badan bukan kerajaan Islam (NGO Islam) atau Muktamar Kebangsaan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM).


Himpunan ini bermula jam 9 pagi dan dihadiri oleh pelbagai NGO-NGO yang ada diseluruh tahan air malah dari Sabah dan Sarawak antaranya seperti Aangkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) , Jemaah Islah Malaysia (JIM), Pertubuhan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Pusat Islam UPM, PERKIM, Persatuan India Muslim, Persatuan Ulamak Malaysia(PUM), Persatuan Peguam Syar’ie Malaysia (PGSM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Hikmah Sabah, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang merupakan satu-satunya persatuan pelajar atau mahasiswa yang hadir, dan lain-lain lagi.


Muktamar atau himpunan ini dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dan dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Al-Whatiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Yang Di-Pertuan Agong Malaysia dan disusuli oleh ucaptama daripada Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) iaitu Dato’ Hj. Mohd Nakhaie Bin Hj Ahmad yang juga selaku Yang Di-Pertua YADIM yang membawa tajuk “Melestari Perjuangan Gerakan Amal Islami”.


Selain itu, himpunan ini juga diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh dua orang tokoh iaitu Tuan Haji Yusri Mohamad yang juga merupakan Presiden ABIM dan Tuan Haji Zaid Kamaruddin yang juga merupakan Presiden JIM.


Tuan Haji Yusri membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Mengukuhkan Pertubuhan Islam Sebagai Wadah Dakwah Yang Berkesan”, dimana beliau mengetengahkan perbincangan tentang kepentingan pengukuhan gerakan Islam ini dari pelbagai aspek seperti fikrah, kualiti, kuantiti, matlamat dan lain-lain lagi dalam bergerak seperti gerakan yang dibawa Rasulullah saw dan pembentukan generasi seperti generasi Salahuddin Al-Ayubi.


Manakala Tuan Haji Zaid Kamaruddin dengan tajuknya yang telah dinyatakan diatas tadi meneragkan tentang peranan sebagai pertubuhan Islam bukan kerajaan dalam masyarakat yang pelbagai kaum dan agama ini dengan menggunakan apa sajaha kemudahan sebagai cara alternatif dalam berdakwah.


Pada pukul 2.30petang pula berlangsung mesyuarat Agung Muktamar bagi menubuhan jawatankuasa MAIM dan membincangkan matlamat dan halatuju gerakan ini dimasa kini dan di masa depan.


Harapan agar himpunan pertubuhan-pertubuhan yang berorientasikan Islam sebagai panduan gerakan dapat menjadi titik permulaan kepada penyatuan ummat Islam dalam memperjuangkan agama tidak mengira bangsa dan keturunan dan menentang sesiapa sahaja yang cuba mencabar agam Islam yang suci yang satu-satunya agama yang benar didunia ini. Himpunan ini berakhir pada jam 6 petang.



Hadirin


Sesi Soal jawab


Perbentangan Oleh Tuan Haji Zaid Kamaruddin


Pergulungan oleh Dato' Nakhaie


Tuan Hj. Yusri


Hadirin yang bertanya


Ucaptama YDP YADIM


Ahli Mesyuarat Agung MAIM


Ucapan Pengerusi tetap

Abg Khairul, Abg MK, Wasif dan Syahiran ( Wakil PKPIM)


Pimpinan MAIM yang dilantik

 

Copyright 2008 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com