Sunday, November 30, 2008

Forum Khas Selamatkan Bahasa Melayu, Hapuskan PPSMI Berjaya Capai Sasaran


30 November, Gombak - Forum Khas Selamatkan Bahasa Melayu, Hapuskan PPSMI anjuran Gerakan Anti-PPSMI (GAP) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang diadakan di sini pada hari ini berjaya mencapai objektif dan sasaran yang ditetapkan. Panelis-panelis forum tersebut terdiri daripada En. Kamal Shukri Abdullah Sani, Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Sdr. Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Koordinator Kampus TERAS dan Mohd. Hilmi Ramli, Presiden PKPIM. Forum tersebut diselia oleh Sdr. Muhamad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM sebagai moderator.


Forum yang dimulakan pada pukul 10 pagi tadi tamat pada pukul 12.30 tengahari menyaksikan para panelis menyampaikan dasar-dasar penting sebagai landasan di dalam perjuangan Bahasa Melayu yang diusahakan oleh Gerakan Anti PPSMI ini. En. Kamal Shukri menyelar Persidangan Meja Bulat PPSMI anjuran Kementerian Pelajarn Malaysia (KPM) yang beliau sifatkan sebagai berat sebelah. Beliau juga menyatakan bahawa hasil perbincangan persidangan tersebut tidak boleh disama tarakan dengan hasil kajian yang dilaksanakan oleh cendekiawan-cendekiawan universiti di dalam isu ini sebagai contoh hasil kajian berhubung keberkesanan PPSMI di kalangan pelajar oleh Prof. Emiritus Dr. Isahak Haron daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Beliau menyeru supaya Akta-Akta yang berkaitan dengan Bahasa Melayu tidak hanya tinggal sebagi Akta-Akta kosong yang tidak bererti. Akta-Akta tersebut perlu dikuatkuasakan dan dipatuhi. Beliau merujuk kepada kedudukan Bahasa Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan dan lain-lain. Beliau turut memberi persoalan penting untuk difikir oleh pemikir-pemikir polisi di dalam KPM iaitu adakah kita ingin hancurkan Bahasa Melayu dengan penggunaan Bahasa Inggeris di dalam mengembangkan sains dan teknologi?


Panelis kedua, Sdr. Wan Ahmad Fayhsal pula menyentuh tentang hubungan di antara Bahasa Melayu dan Islam yang disifatkannya sudah berasimilasi sepanjang kehadiran Islam ke Tanah Melayu di dalam lipatan sejarah. Bahasa Melayu sudah melalui proses Islamisasi sehingga menjadikannya sebuah bahasa yang tidak boleh hidup tanpa Islam. Beliau memperkaitkannya dengan keperluan untuk Bahasa Melayu digunapakai sebagai medium transmisi ilmu. Sekiranya PPSMI diteruskan, ia akan menghilangkan sifat keagamaan yang ada di dalam Bahasa Melayu untuk diterapkan di dalam kebangkitan sains dan teknologi pada hari ini.


Malah, pada beliau, sekiranya kita menolak kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa untuk transmisi ilmu, seolah kita menidakkan kepentingan bahasa sesuatu bangsa sebagai medium transimisi ilmu seperti yan disebutkan di dalam ayat 4 Surah Ibrahim. perantara untuk penyampaian ilmu yang Perjuangan memartabat dan pemerkasaan Bahasa Melayu pada beliau bukan sangat kerana isu PPSMI ini, tetapi ia sebenarnya isu yang lebih serius dan lebih dalam daripada apa yang dilihat secara luaran. Beliau turut menyifatkan segelintir kita sebagai terperangkap di dalam watak tertawan dengan menjadikan bahasa asing sebagai bahasa ilmu di dalam negara kita.Tampaknya, bangsa Melayu lebih kelihatan terperangkap dengan minda yang terjajah dan watak yang tertawan selepas daripada Malaysia mencapai kemerdekaan berbanding daripada sebelumnya.


Mohd. Hilmi Ramli menekankan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan seperti yang terkandung di dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang dipegang sekian lama. Bahasa Melayu merupakan agen pemersatu untuk bangsa-bangsa yang hidup sebuumbung di Malaysia. Perjuangan untuk menamatkan PPSMI ini sudah pun dimulaakn sejak ia mula dilaksanakan pada 2003. Sudah pelbagai usaha melalui memorandum, resolusi, petisyen dan bermacam lagi yang dicapai di dalam kongres, seminar, konvensyen dan kolokium Bahasa Melayu yang dianjurkan.


Sekiranya pihak pemerintah masih tidak memahami bahas diplomasi yang digunakan untuk menunjukkan protes rakyat terhadap pelaksanaan PPSMI ini, sudah tiba masanya untuk gerakan perjuangan Bahasa Melayu ini menggunakan bahasa advokasi. Beliau juga turut menyeru generasi muda khususnya di kalangan mahasiswa untuk turut sama bangkit dan berdiri di barisan hadapan di dalam mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang benar-benar dihayati dan bukannya setakat omong-omong kosong atau sekadar tulisan di atas kertas. Di dalam hal ini, beliau dengan lantang menyatakan bahawa PKPIM akan membuat laporan polis terhadap KPM kerana didakwa mencabul Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan beberapa Akta lain yang berkiatan dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia. Beliau turut menasihati para perwakilan UMNO di dalam Persidangan Agung UMNO Mac hadapan untuk menolak pemimpin-pemimpin yang menjahanamkan Bahasa Melayu.


Forum pada hari ini turut menerima lontaran pandangan yang bernas daripada Prof. Emiritus. Dr. Abdullah Ahsan, seoarang cendekiawan dan pejuang bahasa. Beliau mengajak para hadirin untuk melihat isu ini daripada skop yang lebih luas. Bukan setakat isu PPSMI, Bahas Melayu harus diselamatkan di pelbagai lapangan.


Isu PPSMI merupakan salah satu daripada cabang penting di dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu, dan ia harus diteruskan. Namun, adalah perlu untuk kita melihat kempen selamatkan Bahasa Melayu ini dari aspek lain juga. Sebagai contoh kepentingan Bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa yang punya beban rohani yang cukup tinggi di dalam kehidupan kita seharian.

Forum tersebut diadakan bertujuan untuk meratakan kefahaman akan peri penting perjuangan memartabat dan pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia. Jumlah peserta forum tersebut turut mencapai sasaran apabila berjaya menarik minat lebih daripada 50 orang mahasiswa yang mewakili organisasi masing-masing, guru-guru, cendekiawan universiti dan pejuang bahasa.


Forum yang diajurkan pada hari ini hanya merupakan permulaan kepada satu protes panjang terhadap PPSMI dan usaha-usaha menyahtaraf Bahas Melayu di Malaysia. PKPIM dan gerakan mahasiswa lain melalui GAP akan terus memobilasi isu ini sehingga KPM mengembalikan hak Bahasa Melayu di dalam sistem pendidikan Malaysia demi kebajikan dan masa depan keseluruhan generasi muda, para pelajar Malaysia.

Sekretariat PKPIM Pusat

Wednesday, November 26, 2008

Fahami inti pati fatwa


http://www.utusan.com.my/utusan/


KUALA LUMPUR 26 Nov. — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pihak memahami intipati fatwa yang diumumkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan amalan yoga dan tidak memutarbelitkan fakta sehingga membuat rakyat terkeliru.


Perdana Menteri berkata, bagi umat Islam yang mengamalkan senaman yoga tetapi tidak menggunakan sebarang bentuk mantera, mereka boleh meneruskan aktiviti tersebut kerana ia adalah untuk kebaikan kesihatan mereka.


“Saya ingin tegaskan bahawa amalan fizikal tanpa sebarang unsur-unsur pemujaan boleh diteruskan, ertinya tidak diharamkan. Saya percaya umat Islam tidak mudah untuk disyirikkan,” katanya kepada Bernama apabila dihubungi di sini hari ini.


Beliau diminta mengulas pelbagai pandangan dan kekeliruan mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan yoga untuk umat Islam kerana ia melibatkan unsur mantera dan pemujaan.


Perdana Menteri berkata, masyarakat bukan Islam tidak perlu berkecil hati mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu kerana ia adalah berkaitan dengan masyarakat Islam semata-mata.


“Apa yang saya fahami daripada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu adalah untuk memberi penjelasan kepada umat Islam yang terlibat dalam senaman yoga, “ katanya.


Abdullah berkata, beliau turut memahami bahawa keputusan untuk melaksanakan fatwa itu hanya akan dilaksanakan selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.


Pengumuman mengenai pengharaman yoga untuk umat Islam itu dibuat oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Abdul Shukor Husin pada Sabtu lepas.

– Bernama

Tuesday, November 25, 2008

Ada Apa Tentang Bahasa ?


http://www.pkpim.net/v2/info/laporan-khas/gerakan-anti-ppsmi.html

Bahasa Melayu (Jawi: بهاس ملايو) ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Indonesia, Malaysia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lagi. Walaupun asal usul bangsa Melayu (dalam pengertian yang khusus) yang paling asal belum diketahui secara pasti tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang.[1] Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 682 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan.

Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, dan Brunei, serta salah satu bahasa rasmi di Singapura. Di Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia, dan di Malaysia, bahasa Melayu juga dipanggil bahasa Malaysia. Selain daripada keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Thailand Selatan, Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.

Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.

Perkara 152, perenggan 1, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) menyatakan bahawa "bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan ditulis dalam bentuk tulisan yang ditentukan oleh parlimen". Dengan perakuan ini, maka bermulalah era baru bagi bahasa Melayu, satu bahasa yang pernah melalui zaman kegemilangan, dengan menjadi lingua franca seluruh daerah Kepulauan Melayu.

Wednesday, November 19, 2008

MISI DAKWAH : KESEDARAN BERSAMA


Rasul-rasul tidak diamanahkan melainkan dengan tugas-tugas yang mulia. Sehubungan dengan ini, Allah mengamanahkan mereka dengan tugas dakwah . Dalam surah an-Nahl ayat 36 Allah berfirman, “Sesungguhnya Kami mengutuskan bagi setiap umat seorang Rasul yang menyeru, Sembahlah Allah dan jauhilah Taghut”.

Orang-orang yang berdakwah mendapat pujian daripada Allah berdasarkan firmannya dalam surah Fussilat ayat 33 yang bermaksud, “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru manusia ke jalan Allah serta beramal soleh seraya berkata, Aku daripada kalangan orang-orang Muslimin.” Oleh kerana dakwah merupakan tugas yang mulia lagi penting Allah mengarahkan umat Islam supaya melaksanakannya. Maka tidak dapat dinafikan lagi, tidak ada kemuliaan bagi mereka yang mangabaikan amar makruf dan nahi mungkar.


Kita sedang berada pada akhir zaman dan terdapat beberapa hadis yang begitu relevan dengan era kita pada hari ini. Mahasiswa sekalian perlu meneliti riwayat-riwayat ini dengan baik supaya dapat memberi kekuatan bagi mempersiapkan diri menghadapi ujian dan cabaran.


Sejak runtuhnya Kerajaan Uthmaniah di Turki, ramai di kalangan umat Islam menjadi “cintakan dunia dan benci mati”. Berbagai penyakit sosial yang menyerang umat Islam pada hari ini. Umat Islam kehilangan kekuatan sehingga menjadi lemah dan terus hanyut dibawa arus. Bagaimanakah cara bagi menghentikan keadaan ini? Kita sebenarnya bertanggungjawab menerapkan nilai kebenaran pada umat dan seterusnya memproses umat ini sehingga mereka mempunyai nilai-nilai Islam yang kukuh, yang memampukan mereka melahirkan arus kekuatan mereka sendiri dalam menghadapi cabaran.


Penaklukan dan penjajah barat ke atas dunia Islam menjadi semakin meluas selepas berlaku selepas berlakunya Perang Dunia Pertama dan Kedua. Pada penghujung abad kedua puluh, dunia menyaksikan tragedi demi tragedi menimpa ke atas umat Islam di seluruh dunia. Antaranya penindasan ke atas rakyat Palestin, kekejaman ke atas umat Islam Rohingya di Arakan, Burma, Tragedi Bosnia yang menyaksikan puluhan ribu umat Islam dibunuh dan lebih 50 000 yang lain cedera akibat kekejaman pengganas-pengganas Serb dari tahun 1992-1995, kekejaman di Kosovo, dan penderitaan di Chechya serta pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas Afghanistan dan Iraq. Mengapa semua ini berlaku? Sudah tentu kerana kelemahan umat Islam sendiri.


Cuba kita lihat generasi terdahulu, terutamanya para sahabat, semuanya utuh memegang al-Quran dan Sunnah Nabi sehingga berjaya menakluki dua per tiga dunia dan diiktiraf sebagai Khairu Ummah.


Pada akhir zaman, umat Islam terpaksa berdepan dengan golongan cerdik pandai yang sesat lagi menyesatkan. Mereka menyeru umat Islam kepada kemungkaran dengan menggunakan kepakaran yang ada pada mereka. Walaupun senario akhir zaman amat mencabar umat Islam, namun masa depan Islam amat cerah. Hal ini disebabkan, akan lahir pejuang-pejuang Islam yang gigih memperjuangkan maruah Islam secara berterusan sehingga akhirnya mereka mencapai kejayaan.


Imam Ahmad meriwayatkan hadis nabi yang bermaksud, “Akan sentiasa ada segolongan (Taifah) daripada umatku yang berpegang teguh di atas agama dan mereka akan menentang dan menguasai musuh-musuh mereka. Tidak ada apa yang dapat memudaratkan mereka kecuali apa yang menimpa mereka dalam bentuk ujian-ujian sehingga datangnya urusan Allah”.


Justeru, umat Islam terutamanya para mahasiswa perlu menghindari sikap mudah berputus asa, sebaliknya menjadikan hadis ini sebagai rangsangan untuk terus merancang dan berusaha ke arah masa depan Islam yang gilang-gemilang. Apa yang dapat dirumuskan daripada nas-nas ini adalah:


  1. Dakwah pada hari ini berdepan dengan kualiti umat Islam yang tidak bernilai seperti buih. Justeru, tumpuan perlu diberikan pada pendidikan dan tarbiah dengan menggunakan pendekatan yang sesuai dengan zaman ini supaya kualiti umat Islam dapat ditingkatkan.

  1. Dakwah juga terpaksa berdepan dengan suasana politik yang mencengkam, yang menjadi batu penghalang pada dakwah. Justeru, perlu ada sebahagian daripada pendakwah yang memberi tumpuan pada aspek siasah. Perancangan rapi perlu dilakukan supaya sistem dan pemerintahan Islam dapat ditegakkan.

  1. Kegigihan pendakwah-pendakwah yang lain untuk menyesatkan umat menambahkan lagi cabaran ke atas pejuang-pejuang Islam hari ini. Dalam konteks ini, pendakwah-pendakwah yang pakar dalam pelbagai bidang perlu dil;ahirkan supaya mereka dapat berhujah dan menangkis sebarang serangan terhadap Islam pada penjuru masing-masing.

  1. Pertolongan daripada Allah dicurahkan pada mereka yang terus menerus berjuang menegakkan kalimah Allah. Justeru, sikap optimis wajib ada pada hati orang-orang yang berperanan berdasarkan janji-janji Allah yang ada di dalam al-Quran dan Sunnah.

Imam Hasan al-Banna berkata, wasilah atau pendekatan umum dakwah terbahagi kepada tiga iaitu iman yang mendalam, pembentukan yang rapi lagi kemas dan usaha dan amal yang berterusan.


Bagi mencapai semua ini, pembentukan yang efisien dan efektif melalui minhaj tarbiah yang kemas amat diperlukan. Tarbiah ini perlu dipimpin oleh pendidik-pendidik yang bertakwa lagi berkemahiran agar ia mampu melahirkan pendakwah profesional yang relevan dengan zamannya.


Oleh: Mohd Abu Bakar Bin Abdul Halim

Exco Dakwah & Tarbiah

PKPIM-KUIS

http://abubakar85.blogspot.com

PKPIM SOKONG BAHASA MELAYU UNTUK SAINS DAN MATEMATIK


Bantahan yang dibuat oleh bekas Menteri Pelajaran negara, Tun Abdul Rahman Ya'kub terhadap pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris harus diberikan perhatian yang serius oleh semua pihak. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyokong penuh saranan Tun Abdul Rahman Ya'kub agar pengajaran Sains dan Matematik dikembalikan kepada bahasa Melayu, sesuai dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.


PKPIM semenjak daripada awal pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris telah menyuarakan bantahan terhadap pendekatan tersebut dan sehingga kini PKPIM tetap tegas dengan pendirian bahawa pengajaran Sains dan Matematik harus dikembalikan kepada Bahasa Melayu.


PKPIM bersetuju dengan kenyataan Tun Abdul Rahman Ya'kub bahawa dasar pengajaran dalam Bahasa Melayu yang telah dimulakan semenjak tahun 1970 telah berjaya melahirkan banyak pakar dalam bidang Sains dan Matematik. Malah, tidak ada bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan sesetengah pihak bahawa kononnya pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu akan menyebabkan para pelajar di negara ini sukar untuk bersaing ke peringkat tertinggi.


Justeru, PKPIM sekali lagi mengulang desakan agar pengajaran Sains dan Matematik
dikembalikan semula kepada Bahasa Melayu. PKPIM yakin dan percaya bahawa pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu akan lebih membantu para pelajar di negara ini untuk menguasai kedua-dua matapelajaran itu dengan lebih baik. Dalam masa yang sama, PKPIM juga tidak menolak kepentingan mempelajari bahasa asing seperti Bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, penguasaan bahasa asing tersebut haruslah dibuat dengan memperkasakan kaedah pembelajaran bahasa itu sendiri, dan bukannya dengan mengorbankan subjek Sains dan Matematik sehingga ditukar bahasa pengantarnya.


Dalam hal ini, PKPIM menyeru agar pihak yang berkaitan meletakkan kepentingan umat dan masyarakat di negara ini melebihi kepentingan peribadi dan keuntungan politik. Pandangan dan saranan daripada pakar-pakar yang benar-benar bertauliah dan layak untuk membicarakan tentang soal pendidikan, bahasa dan budaya harus diterimapakai dalam menentukan dasar-dasar pendidikan yang penting di negara ini.


KHAIRUL ANWAR BIN SHAZALI

Setiausaha Agung,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Kenyataan Media ABIM 12 Nov 2008 / 14 Zulkaedah 1429 - Bincang isu fatwa pengkid secara ilmiah


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat tindakan pihak-pihak tertentu menganjurkan protes umum atau membuat kritikan terbuka terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai pengharaman perlakuan tomboy ataupun pengkid serta fatwa mengenai Yoga yang sedang dipertimbangkan.


Majlis Fatwa Kebangsaan merupakan sumber rujuk utama bagi umat Islam di negara ini untuk mencari penyelesaian tentang sebarang kemusykilan mengenai hal-hal agama. Fatwa yang dikeluarkan akan melalui melalui proses perbincangan yang teliti dan bersandarkan kepada sumber-sumber hukum sahih serta kaedah-kaedah perundangan Islam yang muktabar.


Oleh sebab itu, fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak patut dipertikaikan dengan mudah. Jika pertikaian tetap timbul, ia hendaklah disalurkan ke proses perbincangan yang tertutup dan sama sekali tidak sesuai menjadi perbahasan di kalangan masyarakat awam lebih-lebih lagi jika dijadikan bahan untuk menganjurkan protes umum atau demonstrasi.


ABIM juga khuatir tindakan pihak-pihak tertentu, terutama sekali pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan bukan Islam, melakukan protes terbuka terhadap fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan akan mencetuskan suasana ketegangan dan perselisihan di kalangan umat Islam khususnya dan masyarakat amnya di negara ini.


ABIM berpendapat bahawa pendekatan terbaik untuk menangani sebarang kemusykilan dan pertikaian mengenai fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan adalah dengan disalurkan secara sihat melalui perbincangan-perbincangan ilmiah tertutup yang disertai oleh pihak-pihak ataupun individu-indidvidu yang mempunyai kepakaran dalam isu yang dibincangkan.


Pada masa yang sama, ABIM mencadangkan agar pihak Majlis Fatwa Kebangsaan atau pihak berkuasa agama yang berkenaan mengambil inisiatif lebih aggresif untuk menjelaskan kepada masyarakat umum rasional fatwa pengharaman tomboy atau pengkid untuk meningkatkan kefahaman masyarakat pelbagai agama di negara ini mengenai isu tersebut.


MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN


YUSRI MOHAMAD
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
 

Copyright 2008 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com