Monday, October 6, 2008

Pengenalan PKPIM


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.


Penubuhan PKPIM ini diusahakan oleh sekumpulan pelajar yang terdiri daripada 10 orang pemimpin pelajar daripada lima institusi pendidikan tinggi iaitu Universiti Malaya, Maktab Teknik Kuala Lumpur (sekarang Universiti Teknologi Malaysia), Maktab Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia), Kolej Islam Malaya (sekarang Maktab Perguruan Islam) dan Maktab Perguruan Bahasa. Tujuan utama penubuhan persatuan ini pada awalnya adalah untuk menjadi wakil tunggal pelajar-pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PTM) pada waktu itu untuk berhubung dengan badan-badan pelajar Islam di luar negeri.


PKPIM ditubuhkan atas dasar inisiatif yang timbul kesan dari Seminar Pelajar Islam Se Malaysia yang pertama kali dianjurkan pada 4 September 1960 bertempat di Universiti Malaya. Beberapa persatuan pelajar Islam dari luar negara seperti Malaya, Indonesia, Singapura, Brunei, Sabah, Sarawak, Filipina dan Ceylon menjadi perwakilan pada hari tersebut. Seminar ini merupakan seminar pertama yang dianjurkan oleh para pelajar atas nama Islam.


Hasil dari seminar tersebut beberapa resolusi telah dibentuk iaitu persatuan pelajar-pelajar Islam PTM perlu mengadakan satu persatuan kebangsaan bagi menyatupadukan pelajar-pelajar Islam di PTM dan perlunya PTM mengadakan satu institusi pengajian tinggi (universiti) bagi memenuhi keperluan pengajian Islam yang ada di negara ini. Hasil dari resolusi yang dibuat, maka Jawatankuasa Seminar memberi mandat untuk membentuk satu Jawatankuasa Penaja penubuhan PKPIM. Hasilnya, terbentuklah satu Jawatankuasa Perancang penubuhan PKPIM yang kebanyakan ahlinya terdiri dari Jawatankuasa seminar tersebut. Berikut adalah senarai nama 10 orang pemimpin pelajar yang dimaksudkan:


  1. Sulaiman Hj. Nordin Pengerusi (Maktab Pertanian Malaya)
  2. Ahmad Johari Setiausaha Maktab Pertanian Malaya)
  3. W. Jaafar Abdullah (Universiti Malaya)
  4. Mohd Ghazali Abdullah] (Universiti Malaya)
  5. Azizuddin Meor Hamzah (Maktab Teknik Kuala Lumpur)
  6. Annuar Hj. Ab. Razak ( Maktab Teknik Kuala Lumpur)
  7. Ismail Ibrahim (Kolej Islam Malaya)
  8. Ahmad Awang (Kolej Islam Malaya)
  9. Ab. Rahman Hj. Taib (Maktab Perguruan Bahasa)
  10. Zainal Adnan Yang Yahya (Maktab Perguruan Bahasa)

Jawatankuasa Perancang ini kemudiannya mengadakan beberapa siri mesyuarat yang bermula dari tarikh 2 Oktober 1960 di Asrama Pertama dan Asrama Kedua Universiti Malaya bagi membincangkan masalah pembentukan persatuan dan merangka perlembagaan PKPIM. Akhirnya pada 31 Mac 1961 bertempat di Asrama Kedua Universiti Malaya, PKPIM telah berjaya ditubuhkan dengan gabungan 5 institusi pengajian tempatan dan 3 bulan kemudian pada 27 Jun 1961 PKPIPTM telah berjaya didaftarkan. Sejak itu PKPIM terus berkembang sehingga mencetuskan kesedaran Islamiah di kalangan generasi muda sehingga kini khususnya pada akhir dekad 60an dan awal dekad 70an.




Visi

Menjana Generasi Rabbāni Demi Membina Tamadun Khayra Ummah

Misi

Gerakan pelajar Islam dinamik dan beriltizam melahirkan generasi muda ke arah memartabatkan idealisme dan cita-cita besar Islam

Motto

Hidup Biar Berjasa



Objektif Gerakan


Sebuah badan induk persatuan pelajar Islam yang berdaftar di peringkat kebangsaan, maka PKPIM menggariskan beberapa objektif:

1. Menjadi satu badan induk yang mewakili pelajar-pelajar Islam di Malaysia untuk berkembang dan berjuang ke arah merealisasikan idealisme Islam yang syumul (komprehensif) selaras dengan tuntutan al-Quran dan as-Sunnah.

2. Mengeratkan dan merapatkan tali persaudaraan di antara semua pelajar Islam Malaysia.

3. Menjadi wakil untuk mengemukakan kesulitan, permintaan serta tuntutan pelajar-pelajar Islam kepada pihak yang berkaitan dengan masalah pelajaran, kebudayaan, kemasyarakatan dan lain-lain.

4. Mengadakan kemudahan kepada para pelajar tanpa mengira perbezaan agama, ekonomi, kaum, pergaulan hidup atau bahasa.

5. Mewakili pelajar-pelajar Islam semasa di dalam dan luar negara, merapatkan ukhuwwah Islamiah serta bekerjasama dengan persatuan-persatuan yang sama dasarnya dengan PKPIM.




Budaya 7 PKPIM



PKPIM meletakkan budaya ilmu sebagai satu perkara wajib haraki (gerakan) yang mesti diamalkan oleh ahli persatuan :

Memugar budaya ilmu dan berakhlak mulia
Budaya ini selaras dengan tuntutan Allah di dalam surah Al-Alaq yang pertama diturunkan sebagai permulaan suatu kebangkitan dominan ilmu serta alam. PKPIM di dalam orientasinya meletakkan Ālamiyyah sebagai ukuran kekuatan insan bagi membezakan yang hak dan batil. Ianya didasari oleh Al-Quran dan As-Sunnah serta ilmu-ilmu keduniaan lain yang menjadi adunan terbaik pembinaan insan berkualiti.

Bersedia untuk belajar, mengajar dan diajar
Sifat ini selaras dengan ciri-ciri pembinan generasi rabbāni yang melatih insan untuk bersifat terbuka, menerima pandangan dan dalam masa yang sama berhikmah dalam menegur pihak lain. Budaya ini mampu memupuk rasa rendah diri (tawad¸u`) atas kelebihan yang ada dan memperbaiki kelemahan sendiri serta orang lain.

Penghayatan amalan kerohanian
Penghayatan budaya ini dilakukan melalui Qiamullail, zikir al-Mathurat dan amalan-amalan Rasulullah SAW secara istiqamah baik secara individu atau jemaah. Hubungan intim kita dengan Allah SWT merupakan prasyarat utama dalam membina kekuatan kita selaku gerakan pelajar Islam.

Memperkasa semangat ukhuwwah
Semangat ini terbina atas dasar aqidah seterusnya melahirkan rasa kasih sayang sesama insan kerana Allah. Ia mendorong insan untuk sama-sama menjaga kebajikan dan kepentingan insan lain. Rasulullah SAW berpesan dalam hadithnya yang bermaksud: tidak sempurna iman seorang daripada kamu sehingga kamu mengasihi saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi saudara kamu sendiri.
Hadis riwayat Bukhari

Menghayati amalan syura, amal jamā`iy & budaya kerja terancang
Amalan syura secara bersepadu dalam sistem keorganisasian dibuat bagi memastikan kelancaran perjalanan persatuan. Manakala budaya kerja terancang merupakan satu latihan disiplin ahli sebagai tanda patuh dan taat kepada keputusan yang telah dipersetujui bersama. Namun kesatuan amal ini hanya terlaksana dengan terikatnya kesatuan fikrah sehingga membentuk satu gelombang dakwah yang berterusan dan terencana.


Prihatin dan iltizam dengan isu semasa
Perbincangan dalam isu-isu sosial dan kemasyarakatan seperti isu pendidikan, kebejatan sosial, pencabulan hak asasi manusia dan lain-lain adalah antara usaha untuk membuka perspektif realiti umat Islam masa kini. Budaya ini penting dalam merancang, menganalisa dan merumus isu tersebut dalam rangka membela umat.

Menghayati rūh al-jihād fï sabïl al-Allah
Inilah peringkat tertinggi yang dapat dicapai hasil latihan dan semangat untuk meratakan kalimah iman dan amal di segenap alam. Peringkat ini hanya teruji dengan pengorbanan tidak berbelah bahagi terhadap urusan jamaah bersandarkan fiqh al-awlawïyah (fiqh keutamaan). Jiwa yang terbina di atas landasan jihad menuntut kesediaan diri insan dengan semua persiapan di atas.


Keyakinan Idealisme

PKPIM menggariskan beberapa landasan teori sebagai orientasi gerakan persatuan ini iaitu :

Dakwah & Tarbiah
Gerakan Islam yang diasaskan dengan semangat amar makruf nahi mungkar (menyeru ke arah kebaikan dan menyanggah kemungkaran), mementingkan sistem pendidikan dan latihan ahli yang lengkap dan bersepadu.

Ilmiyyah (Berbudaya ilmu)
Gerakan yang ditunjangi oleh budaya ilmu yang mantap, rasional dan objektif dalam membezakan anatara hak dan batil.

Desekularisasi
Gerakan yang menggabungjalinkan ilmu-ilmu wahyu (revealed knowledge) dan ilmu-ilmu wahyu yang dituntut (acquired knowledge) dalam proses membangunkan ummat serta mengambil pendekatan mengintelektualkan ulama’ dan mengulama’kan intelektual.

Waşoţiyyah (Kesederhanaan)
Mengambil pendekatan yang sederhana dan tepat dengan menjauhi segala bentuk kecenderungan yang melampau.

Jamāhiriyyah (Akomodatif)
Mengambilkira kepelbagaian gaya hidup masyarakat dalam merangka gerak kerja terhadap sasaran dakwah yang berbeza.

Wāqi`iyyah (Setempat)
Menimbang realiti setempat yang cukup tersendiri dalam melaksanakan ‘manhaj mālizy’ (pendekatan ala Malaysia) dalam penyebaran dakwah.

Tārikhiyyah (Historis)
Sebuah gerakan yang mempunyai pengalaman dan prestasi gerak kerja yang terbukti berkesan, matang dan mampu kekal relevan sepanjang zaman.

Ālamiyyah (Global)
Menjadi gerakan yang dalam gerak kerjanya menjangkau dan merentasi sempadan geografi, politik, agama, budaya dan bangsa.

Non-Partisan
Mendokong kebenaran dan menyanggah kebatilan tanpa sebarang keterikatan dengan sebarang puak hingga menghalang pertimbangan rasional dan keadilan.




Modus Operandi


PKPIM berperanan sebagai elemen penyatu kepada hal ehwal kebajikan dan pergerakan pelajar Islam di peringkat kebangsaan. Fokus pergerakan PKPIM adalah kepada pelajar-pelajar Islam untuk memperkukuhkan fahaman agama. Keahlian PKPIM terbuka kepada semua pelajar dari peringkat menengah hingga ke atas. Jaringan keahlian PKPIM meliputi pelbagai institusi pengajian tinggi dan sekolah di seluruh Malaysia. PKPIM sebagai sebuah badan induk di peringkat kebangsaan mempunyai 12 badan gabungan meliputi seluruh negeri di Malaysia yang bergerak aktif membimbing dan mendidik para pelajar dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan perseorangan.

Fokus dan Skop Aktiviti PKPIM
Pendekatan PKPIM dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan adalah berorientasikan dakwah dan tarbiah. Setiap program dan aktiviti yang dilakukan adalah mempunyai matlamat khusus dengan pengkajian serta perancangan yang teliti dari segi perlaksanaan dan program susulan. PKPIM memberikan penekanan kepada dua skop aktiviti utama sepertimana berikut :

  • Aktiviti Dalaman

Asas Latihan dan Kemahiran
Penumpuan diberikan terhadap perkara-perkara asas yang perlu wujud dalam diri seseorang pelajar Muslim melalui siri-siri latihan kepimpinan, motivasi kendiri dan program-program pembangunan yang disusun secara berkala dari masa ke semasa. Bimbingan diberikan dengan asas-asas kerohanian dan cara hidup Islam yang syumul dalam menghadapi zaman kontemporari yang serba mencabar.

Pengembangan dan Pemantapan
Kemahiran asas yang diperolehi diperkembangkan melalui program dan bengkel-bengkel kemahiran sepertimana kursus dan bengkel yang telah dijalankan. Antaranya ialah Kursus Asas Fasilitator (4 fasa perlaksanaan), Bengkel Pengurusan Strategik dan Organisasi, Siri Latihan Kepimpinan Mahasiswa IPT (pemimpin mahasiswa) dan Bengkel Latihan Khidmat Masyarakat.

  • Aktiviti Luaran

Komuniti dan Pembangunan Masyarakat
Generasi muda merupakan elemen penting dalam mencorak pembangunan masyarakat. PKPIM menyumbang pelbagai bentuk program dan aktiviti yang bersifat penyertaan pelajar secara terus bersama masyarakat umum dari pelbagai peringkat tanpa mengira umur, pangkat dan kawasan. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Program Mahasiswa Bersama Masyarakat (MBM) yang mana di dalam projek ini mahasiswa turun kepada masyarakat desa dan pedalaman. Kedua ialah Program Penyelidikan Komuniti. Antara yang telah dijalankan ialah Projek Permasalahan Masyarakat Felda dan terakhir ialah projek Gerakan Mahasiswa Prihatin (GEMPA). Penumpuan program ini adalah untuk mengadakan kempen-kempen kesedaran gaya hidup murni di pelbagai tempat awam.

Pembangunan Generasi Muda
Pembangunan generasi muda perlu dibina sejak dari awal lagi. Justeru itu, PKPIM melihat aktiviti yang bersifat latihan dan motivasi dianjurkan untuk memberi pendedahan dan bimbingan kepada golongan pelajar sejak dari alam persekolahan. Antara program yang telah dijalankan ialah Program Perkampungan Menara Gading (MENARA). Program ini dikhususkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM). Seterusnya Perkhemahan Motivasi dan Kepimpinan Sekolah (MEKAR) yang dikhususkan kepada pelajar sekolah menengah dan rendah. Projek Sekolah Angkat turut dilakukan oleh PKPIM dalam membantu negara membangunkan generasi muda. Tidak ketinggalan juga Program Kepimpinan Rakan Muda (KARISMA) yang memberi tumpuan kepada remaja bermasalah.

Keintelektualan dan Pemikiran
PKPIM juga turut mengadakan program-program yang berfungsi sebagai pencetus wahana perbincangan sihat mengenai isu-isu semasa terutama dalam menangani kemelut dunia pelajar khususnya dan manfaat masyarakat umumya. Antara program-program yang dianjurkan oleh PKPIM ialah Konvensyen Pendidikan Nasional, Konvensyen Mahasiswi Islam Kebangsaan, Muzakarah Kepimpinan Nasional, Wacana Ilmiah Bulanan dan Majlis Diskusi Ilmu. Aspek keilmuan dan keintelektualan merupakan pendekatan dan orientasi PKPIM yang utama di kalangan pelajar dan masyarakat umumnya.

Penulisan, Penerbitan dan Teknologi Maklumat
PKPIM dari masa ke semasa menyumbang pelbagai bentuk genre penulisan terutamanya rencana dan penulisan ilmiah melalui saluran media massa. Penulisan ini berkaitan dengan isu-isu pendidikan, perkembangan mahasiswa dan kemasyarakatan. Dalam bentuk sebegini jugalah PKPIM dapat menyalurkan maklumat kepada para pelajar dan masyarakat. Antara bahan penerbitan PKPIM ialah Warta PKPIM, Siri Berkala Suara Mahasiswa, Siri Motivasi Pelajar Muslim Cemerlang (SMART) dan Monograf Berkala Koleksi Kertas Kerja PKPIM.

Penumpuan terhadap teknologi maklumat turut digunakan sebagai medium pengantaraan kepada pelajar dan masyarakat. PKPIM turut mempunyai laman web tersendiri yang memuatkan maklumat semasa pelajar, aktiviti persatuan dan rencana ilmiah. Laman web ini boleh diterokai melalui www.pkpim.net.



PKPIM PUSAT

Logo PKPIM
Sekretariat PKPIM Pusat
Anjung Rahmat
Batu 6, Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur
MALAYSIA

T+603-6187 9520
F+603-6184 2570
W+www.pkpim.net
E+info@pkpim.net

Akhbar Online

IPT Tempatan

  •  

    Copyright 2008 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com