Wednesday, November 19, 2008

MISI DAKWAH : KESEDARAN BERSAMA


Rasul-rasul tidak diamanahkan melainkan dengan tugas-tugas yang mulia. Sehubungan dengan ini, Allah mengamanahkan mereka dengan tugas dakwah . Dalam surah an-Nahl ayat 36 Allah berfirman, “Sesungguhnya Kami mengutuskan bagi setiap umat seorang Rasul yang menyeru, Sembahlah Allah dan jauhilah Taghut”.

Orang-orang yang berdakwah mendapat pujian daripada Allah berdasarkan firmannya dalam surah Fussilat ayat 33 yang bermaksud, “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru manusia ke jalan Allah serta beramal soleh seraya berkata, Aku daripada kalangan orang-orang Muslimin.” Oleh kerana dakwah merupakan tugas yang mulia lagi penting Allah mengarahkan umat Islam supaya melaksanakannya. Maka tidak dapat dinafikan lagi, tidak ada kemuliaan bagi mereka yang mangabaikan amar makruf dan nahi mungkar.


Kita sedang berada pada akhir zaman dan terdapat beberapa hadis yang begitu relevan dengan era kita pada hari ini. Mahasiswa sekalian perlu meneliti riwayat-riwayat ini dengan baik supaya dapat memberi kekuatan bagi mempersiapkan diri menghadapi ujian dan cabaran.


Sejak runtuhnya Kerajaan Uthmaniah di Turki, ramai di kalangan umat Islam menjadi “cintakan dunia dan benci mati”. Berbagai penyakit sosial yang menyerang umat Islam pada hari ini. Umat Islam kehilangan kekuatan sehingga menjadi lemah dan terus hanyut dibawa arus. Bagaimanakah cara bagi menghentikan keadaan ini? Kita sebenarnya bertanggungjawab menerapkan nilai kebenaran pada umat dan seterusnya memproses umat ini sehingga mereka mempunyai nilai-nilai Islam yang kukuh, yang memampukan mereka melahirkan arus kekuatan mereka sendiri dalam menghadapi cabaran.


Penaklukan dan penjajah barat ke atas dunia Islam menjadi semakin meluas selepas berlaku selepas berlakunya Perang Dunia Pertama dan Kedua. Pada penghujung abad kedua puluh, dunia menyaksikan tragedi demi tragedi menimpa ke atas umat Islam di seluruh dunia. Antaranya penindasan ke atas rakyat Palestin, kekejaman ke atas umat Islam Rohingya di Arakan, Burma, Tragedi Bosnia yang menyaksikan puluhan ribu umat Islam dibunuh dan lebih 50 000 yang lain cedera akibat kekejaman pengganas-pengganas Serb dari tahun 1992-1995, kekejaman di Kosovo, dan penderitaan di Chechya serta pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas Afghanistan dan Iraq. Mengapa semua ini berlaku? Sudah tentu kerana kelemahan umat Islam sendiri.


Cuba kita lihat generasi terdahulu, terutamanya para sahabat, semuanya utuh memegang al-Quran dan Sunnah Nabi sehingga berjaya menakluki dua per tiga dunia dan diiktiraf sebagai Khairu Ummah.


Pada akhir zaman, umat Islam terpaksa berdepan dengan golongan cerdik pandai yang sesat lagi menyesatkan. Mereka menyeru umat Islam kepada kemungkaran dengan menggunakan kepakaran yang ada pada mereka. Walaupun senario akhir zaman amat mencabar umat Islam, namun masa depan Islam amat cerah. Hal ini disebabkan, akan lahir pejuang-pejuang Islam yang gigih memperjuangkan maruah Islam secara berterusan sehingga akhirnya mereka mencapai kejayaan.


Imam Ahmad meriwayatkan hadis nabi yang bermaksud, “Akan sentiasa ada segolongan (Taifah) daripada umatku yang berpegang teguh di atas agama dan mereka akan menentang dan menguasai musuh-musuh mereka. Tidak ada apa yang dapat memudaratkan mereka kecuali apa yang menimpa mereka dalam bentuk ujian-ujian sehingga datangnya urusan Allah”.


Justeru, umat Islam terutamanya para mahasiswa perlu menghindari sikap mudah berputus asa, sebaliknya menjadikan hadis ini sebagai rangsangan untuk terus merancang dan berusaha ke arah masa depan Islam yang gilang-gemilang. Apa yang dapat dirumuskan daripada nas-nas ini adalah:


  1. Dakwah pada hari ini berdepan dengan kualiti umat Islam yang tidak bernilai seperti buih. Justeru, tumpuan perlu diberikan pada pendidikan dan tarbiah dengan menggunakan pendekatan yang sesuai dengan zaman ini supaya kualiti umat Islam dapat ditingkatkan.

  1. Dakwah juga terpaksa berdepan dengan suasana politik yang mencengkam, yang menjadi batu penghalang pada dakwah. Justeru, perlu ada sebahagian daripada pendakwah yang memberi tumpuan pada aspek siasah. Perancangan rapi perlu dilakukan supaya sistem dan pemerintahan Islam dapat ditegakkan.

  1. Kegigihan pendakwah-pendakwah yang lain untuk menyesatkan umat menambahkan lagi cabaran ke atas pejuang-pejuang Islam hari ini. Dalam konteks ini, pendakwah-pendakwah yang pakar dalam pelbagai bidang perlu dil;ahirkan supaya mereka dapat berhujah dan menangkis sebarang serangan terhadap Islam pada penjuru masing-masing.

  1. Pertolongan daripada Allah dicurahkan pada mereka yang terus menerus berjuang menegakkan kalimah Allah. Justeru, sikap optimis wajib ada pada hati orang-orang yang berperanan berdasarkan janji-janji Allah yang ada di dalam al-Quran dan Sunnah.

Imam Hasan al-Banna berkata, wasilah atau pendekatan umum dakwah terbahagi kepada tiga iaitu iman yang mendalam, pembentukan yang rapi lagi kemas dan usaha dan amal yang berterusan.


Bagi mencapai semua ini, pembentukan yang efisien dan efektif melalui minhaj tarbiah yang kemas amat diperlukan. Tarbiah ini perlu dipimpin oleh pendidik-pendidik yang bertakwa lagi berkemahiran agar ia mampu melahirkan pendakwah profesional yang relevan dengan zamannya.


Oleh: Mohd Abu Bakar Bin Abdul Halim

Exco Dakwah & Tarbiah

PKPIM-KUIS

http://abubakar85.blogspot.com

 

Copyright 2008 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com